Perkasa Bimbang Bersih Ganggu AGM

Diterbitkan: Khamis, 17 November 2016 4:55 PM

 Datuk Ibrahim Ali
(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) bimbang perhimpunan Bersih yang dijadualkan pada Sabtu akan mengganggu kelancaran Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertubuhan itu.

Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata, tarikh persidangan, iaitu pada 19 dan 20 November ini telah lama ditetapkan dan persiapan rapi telah dibuat, justeru ia perlu diteruskan walaupun Bersih akan diadakan.

"Kita telah buat laporan dan maklumkan kepada polis kerana banyak laluan akan ditutup disebabkan Bersih.

"Saya minta mana-mana kenderaan yang bawa surat, kereta ada label atau bas bawa sepanduk Perkasa, pihak berkuasa mesti benarkan kenderaan ini sampai ke destinasi dan jangan timbul masalah," kata kepada pemberita pada sidang media di sini, Khamis.

Persidangan pada 19 November akan diadakan  di Hotel Regency, Jalan Raja Alang dan di Stadium Titiwangsa pada 20 November.

Menurut Ibrahim Perkasa dan ahli-ahlinya hanya memberi tumpuan terhadap persidangan yang diadakan dan dalam masa yang sama menghormati hak dan kebebasan orang ramai untuk bersuara.

Bagaimanapun katanya, kerjasama pihak polis amat diharapkan bagi memastikan perjalanan AGM tidak terganggu disebabkan sekatan atau halangan polis.

"Kita golongan orang baik-baik. Saya harap polis bagi kerjasama sepenuhnya dan kami dapat datang ikut jadual ditetapkan.

"Kita tak mahu tergendala dengan sekatan yang akhirnya persidangan turut terjejas, polis perlu pastikan jangan ada masalah ini," katanya.

Mengenai perhimpunan pada Sabtu di mana kumpulan Bersih dijangka bertembung dengan kumpulan pro kerajaan Baju Merah, Ibrahim berkata perhimpunan itu sudah jelas diisytiharkan sebagai haram.

Beliau bagaimanapun berkata jika terdapat mana-mana ahli Perkasa terlibat dengan perhimpunan itu, tindakan hanya akan dikenakan oleh pihak polis, tidak daripada pertubuhan itu sendiri.

"Ahli Perkasa ni juga terdiri daripada ahli-ahli politik seperti Umno, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, kalau mereka hadir pun atas kapasiti politik sebab kita Perkasa tak beri perhatian pun (Bersih).

"Jika nak teruskan juga, itu hak mereka, berani buat beranilah tanggung, kita serahkan kepada polis," katanya.

Dalam pada itu Ibrahim berkata beliau akan mencadangkan agar kerajaan mewujudkan Akta Sabotaj Ekonomi dalam ucapannya pada persidangan itu, satu mekanisme yang hampir sama dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Katanya, akta sedemikian penting memandangkan kes rasuah di negara ini semakin menjadi-jadi dan melibatkan banyak pihak dan individu.

"Bila berlaku sabotaj ekonomi, ia boleh mengancam keselamatam negara, rakyat akan marah dan memberontak.

"Jadi saya cadangkan kes rasuah lebih dari RM1 bilion polis atau SPRM boleh tahan suspek tanpa perintah mahkamah," katanya.

Tags / Kata Kunci: Perkasa , Bersih , Ibrahim Ali

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan