PRU-14: Calon Potensi Gerakan Ditapis SPRM Sebelum Dimuktamadkan

Diterbitkan: Selasa, 15 November 2016 5:41 PM

Mah Siew Keong.

Mah Siew Keong.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Senarai penyelaras atau calon potensi Parti Gerakan dalam pilihan raya umum ke-14 akan dihantar untuk tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum dimuktamadkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak, kata presidennya Datuk Seri Mah Siew Keong pada Selasa.

Beliau berkata senarai penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen akan diberikan kepada SPRM untuk disemak bagi memastikan mereka tiada rekod  dan bebas rasuah.

"Sekiranya penyelaras terdapat rekod, kita akan tukar terus sebelum (senarai) diserahkan kepada pengerusi BN. Kita mahu memastikan semua calon Gerakan mempunyai rekod yang baik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Semarak Integriti Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi di sini Selasa.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil di sini Selasa.

Mah berkata sebelum ini Gerakan mengumumkan empat individu yang bakal diketengahkan sebagai calon Gerakan di Selangor pada PRU ke-14.

Namun begitu, beliau berkata pengumuman penyelaras DUN dan Parlimen lain akan diteruskan selepas tapisan SPRM selesai.

"Pelantikan penyelaras adalah untuk memastikan mereka mula berkhidmat di kawasan itu sebagai persediaan bagi PRU akan datang selain memastikan mereka diterima pengundi kawasan itu, katanya.

Mah juga berkata Gerakan akan menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan SPRM Sabtu ini untuk membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama menangani rasuah.

"Kita akan dapatkan nasihat daripada SPRM mengenai apa yang boleh dan tidak boleh kami buat," katanya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Parti Gerakan , calon potensi , PRU-14

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan