Penyelenggaraan Lemah: Penghuni PPR Taman Putra Damai Berdepan Bahaya

Diterbitkan: Isnin, 14 November 2016 8:00 AM

Masalah lif rosak antara isu utama yang dihadapi penduduk PPR Taman Putra Damai sejak sekian lama. Gambar The Star/Shaari Che Mat

(Ubah saiz teks)

SITUASI di PPR Taman Putra Damai, Ara Damansara bakal mengundang bahaya lebih besar apabila lebih 10 kemalangan direkodkan ekoran kelemahan penyelenggaraan.

Longkang tersumbat, lopak air, lif rosak dan sampah sarap di setiap tingkat adalah sebahagian daripada masalah yang perlu dihadapi penduduk setiap hari.

Saban hari penduduk di sini mengharapkan kehidupan yang lebih baik namun tangisan mereka tidak diendahkan.

Malah ada yang sudah berputus asa untuk menyediakan persekitaran yang bersih dan sihat kepada anak-anak mereka.

Dimiliki dan dibina oleh kerajaan Persekutuan dan diuruskan oleh kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), rumah pangsa yang dikenali sebagai PPR Lembah Subang 1 itu bagaikan menunggu bencana yang tidak diduga.

Isu paling jelas yang perlu diberi perhatian ialah keadaan lif di lapan blok rumah pangsa setinggi 17 tingkat itu.

Sekurang-kuranya tiga lif harus beroperasi pada satu-satu masa.

Bagaimanapun penduduk di sini dianggap lebih bernasib baik jika terdapat sekurang-kurangnya satu lif berfungsi bagi memudahkan mereka bergerak - keadaan ini perlu diatasi sebelum ia terlambat.

Lif rosak telah menyebabkan ramai penduduk yang mengalami masalah kesihatan terpaksa berkurung di dalam rumah yang mempunyai tiga bilik tidur itu daripada mendapatan rawatan doktor di hospital.

Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan PPR Lembah Subang, Mazlan Md Yunos berkata, terdapat kes kematian di pangsapuri berkenaan akibat gagal mendapatkan rawatan perubatan.

"Tahun lepas seorang penduduk yang agak berusia ditemui mati di rumahnya selepas empat hari kerana gagal mendapatkan rawatan perubatan mengikut masa. Kami hanya mengetahuinya selepas terhidu bau busuk,” katanya.

Proses membawa turun mayat juga berhadapan masalah kerana kegagalan lif.

Sementara itu, seorang lelaki kelainan upaya di block D yang tinggal di tingkat 10 tidak pernah meninggalkan rumahnya selama lebih lapan bulan kerana lif tidak berfungsi.

Jirannya Rosnah Abdul Gazar, 38, berkata mereka selalu mendengar rungutan lelaki berkenaan kerana sering terlepas waktu pemeriksaan susulan di hospital.

“Sedih apabila mendengar dia mengadu. Bayangkan keadaan orang-orang tua di sini, tiada siapa yang dapat bergerak apabila lif tidak berfungsi.

“Kalau ada pun hanya satu lif yang beroperasi, ia sangat menyukarkan,” katanya.

Kehilangan palang besi juga mencetuskan kebimbangan di kalangan ibu bapa kerana ia mendedahkan anak-anak mereka kepada bahaya apabila menggunakan tangga dalam keadaan gelap.

Seorang penduduk Rosita Baba, 58, berkata beberapa blok telah pun membuang palang besi di tangga yang sudah berkarat kerana takut mencederakan kanak-kanak.

Selain itu, sampah juga menjadi satu lagi masalah kepada penduduk di sini terutama apabila beberapa unit kosong telah bertukar menjadi tapak pembuangan sampah.

Penduduk mendakwa terdapat kira-kira 400 unit kosong di rumah pangsa berkenaan malah terdapat beberapa penghuni yang tinggal secara haram walaupun tanpa surat tawaran. MBPJ bagaimanapun berkata, terdapat hanya 193 unit kosong.

Unit-unit kosong kebanyakkannya telah kehilangan wayar elektrik dan beberapa barangan berharga lain.

Selain itu beberapa sisa-sisa alat ganti motosikal dan barangan curi turut ditemui di dalamnya.

Mazlan menunjukkan pemadam kebakaran yang hilang di salah satu blok PPR Taman Putra Damai.

"Kami juga menemui jarum di dalam rumah-rumah kosong yang mungkin digunakan penagih dadah dan kami percaya perbuatan maksiat juga berlaku di situ," kata Pengerusi Rukun Tetangga Block E Taman Putra Damai , Muhamad Azmi Yaacob.

Kesemua lapan blok rumah pangsa itu juga berhadapan masalah saliran paip pecah yang menyebabkan air kotor bertakung di tingkat bawah di mana kanak-kanak bebas berkeliaran.

Mazlan, Azmi dan isterinya Rosita merasakan kerajaan Persekutuan perlu mengambil alih pengurusan rumah pangsa itu memandangkan bangunan itu adalah milik mereka.

"Jika kerajaan Persekutuan ambil alih, kami diberitahu mereka akan melaksanakan konsep sewa beli, sesuatu yang kami sangat tertunggu-tunggu,” kata Mazlan.

Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebelum ini berjanji untuk berbuat demikian.

Namun kerajaan negeri Selangor sebelum ini berkata mereka tiada masalah untuk menyerahkan kembali PPR berkenaan kepada kerajaan Persekutuan dengan syarat kos sebanyak RM8 juta yang dibelanjakan bagi tujuan pemulihan dibayar balik.

Tags / Kata Kunci: PPR Taman Putra Damai

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan