Warga Emas Berkeras Habiskan Sisa Hidup Di Bawah Jambatan

Diterbitkan: Isnin, 14 November 2016 12:44 PM

Pak Lah menegaskan bahawa dia gembira tinggal di bawah jambatan di Kampung Sungai Durian di Pasir Puteh.

(Ubah saiz teks)

PASIR PUTEH: Seorang warga emas berkeras mahu menghabiskan baki hidupnya di bawah jambatan walaupun mendapat tawaran bantuan dan usaha untuk menempatkannya di rumah penjagaan orang-orang tua.

Abdullah Mat Jusoh, 83, menjalani kehidupan di bawah jambatan di Kampung Sungai Durian di sini sejak tiga tahun lalu.

"Saya sangat gembira di sini, dan saya tidak mahu apa-apa lagi.

"Isteri saya meninggal dunia tiga tahun lalu, dan dua anak saya juga meninggal sebelum itu.

"Saya percaya ia adalah takdir bahawa saya perlu menghabiskan sisa hidup seorang diri, dan saya tiada masalah dengan keadaan ini," katanya.

Abdullah yang lebih dikenali sebagai Pak Lah di kalangan penduduk tempatan berkata, dia memutuskan untuk tinggal di bawah jambatan kerana tidak mahu menyusahkan orang lain.

"Saya tak perlu banyak. Hidup di bawah jambatan sudah cukup buat saya," kata Abdullah.

Kadang-kadang, penduduk yang tinggal berdekatan akan menghantar makanan kepada Abdullah. Jika tidak, dia akan membeli makanan di kedai berhampiran.

Dia menerima bantuan sebanyak RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan menolak penempatan lebih baik di rumah penjagaan orang-orang tua yang dikendalikan jabatan itu.

Walaupun tahap kesihatannya semakin merosot, Pak Lah juga menolak tawaran daripada beberapa organisasi yang mahu membina rumah baharu untuknya kerana lokasinya yang jauh dari jambatan.

Menurut Abdullah, beliau tidak kisah untuk berpindah ke rumah baharu, asalkan ia dibina dekat dengan jambatan.

Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang bergelar Third Force cuba untuk meyakinkan Abdullah untuk berpindah ke kediaman yang lebih baik, dengan alasan pada usianya yang semakin lanjut, adalah lebih baik baginya untuk hidup di rumah yang lebih selesa.

Bagaimanapun, pakar motivasi Raja Shamrin Raja Hussein berkata, Pak Lah terus berkeras untuk tidak berpindah ke mana-mana yang jauh dari jambatan itu.

"Masalahnya adalah tanah dekat jambatan itu dimiliki Jabatan Pengairan dan Saliran, dan kita tidak boleh membina apa-apa di atas tanah itu," kata Raja Shamrin.

Beliau berkata, Pak Lah turut menolak tawaran dari sebuah sekolah agama untuk membina sebuah rumah buatnya.

Katanya, Pak Lah bagaimanapun masih memberikan alasan yang sama bahawa rumah yang mahu dibina itu terletak terlalu jauh dengan jambatan tersebut.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan