Pensyarah Cerita Pengalaman Berbasikal Keliling 22 Negara

Diterbitkan: Ahad, 13 November 2016 9:18 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Pengembaraan anak jati Terengganu yang berbasikal secara solo mengelilingi dunia berakhir pada Sabtu selepas berjaya merentasi 22 negara membabitkan jarak 22,000 kilometer dalam tempoh 16 bulan.

Sofian Mohd, 55, yang juga seorang pensyarah dan Ketua Jabatan Pengajian Am Politeknik Kuching, Sarawak tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bariah, di sini kira-kira pukul 11 pagi Sabtu.

Ketibaan wira Terengganu itu disambut Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Datuk Rozi Mamat serta Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi dan lebih 500 pelajar serta alumni sekolah tersebut.

Bapa kepada dua anak yang juga anak jati Kampung Telaga Daing, Seberang Takir itu memulakan perjalanannya pada 29 Julai tahun lalu.

Menceritakan pengalamannya, Sofian berkata beliau bersyukur dan merasa cukup puas kerana dapat menamatkan misi pengembaraannya yang juga bertujuan untuk mempromosikan Malaysia dan Terengganu sempena Tahun Melawat Terengganu 2017 dan Tahun Melawat Malaysia.

"Bila saya tiba di Pengkalan Kubor, Kelantan pada Khamis lalu, saya memang rasa teramat lega dan tak tahu nak gambarkan perasaan ini sebab saya tak perlu lagi bimbang soal keselamatan...masa saya di negara orang, saya memang sentiasa fikirkan soal keselamatan diri saya kerana saya hanya berseorangan.

"Alhamdulillah, misi perjalanan saya berjalan lancar yang mana sepanjang perjalanan saya hanya ditemani basikal dengan muatan lebih 80 kilogram...saya bawa semua kelengkapan dan barangan termasuk periuk untuk memasak dan kelengkapan membaiki basikal," katanya.

Sofian berkata perjalanan secara solo dengan berbasikal bukanlah semudah yang disangka kerana beliau terpaksa berhadapan dengan cuaca empat musim dan mengharungi laluan dengan bentuk muka bumi berbeza termasuk kawasan pergunungan dan padang pasir.

"Sepanjang perjalanan saya banyak membaca dan melihat cara kehidupan dan teknologi orang Islam di negara yang saya lawati, saya dapat lihat al-Quran pada zaman Saidina Othman, saya dapat sentuh makam Imam Al Bukhari di Uzbekistan dan melihat memorial Nabi Ayub...inilah yang mendorong saya teruskan perjalanan.

"Kadang-kadang saya mengayuh basikal sejauh 80 hingga 100 kilometer sehari, tetapi bila rasa penat, baru kayuh 20 kilometer pun saya akan berehat dan setiap hari saya terpaksa mencari tempat tidur yang selamat untuk saya berteduh," katanya.

Sofian berkata semasa pengembaraannya beliau juga dikejutkan dengan kematian adiknya Mohd Sukri yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Menurutnya, biarpun terpaksa berhadapan dengan beberapa cabaran dan kesukaran, beliau tetap bersemangat untuk menamatkan misinya demi mengharumkan nama negara dan Terengganu.

"Sepanjang perjalanan, kadang-kadang saya tak dapat berhubung dengan keluarga hingga seminggu lamanya sebab tak ada wifi...tapi saya akan beritahu mereka lebih awal ke mana arah tuju saya," katanya.

Antara negara yang dilalui Sofian sepanjang perjalanannya termasuk Thailand, Laos, China, Kazakhstan, Uzbekistan, Itali, Switzerland, Denmark, Korea Selatan, Korea Utara, Hong Kong, Taiwan dan Brunei.

Sementara itu, Rozi berkata pihaknya mahu anak Terengganu mencontohi kejayaan Sofian yang dapat mencipta nama hingga ke peringkat dunia agar lebih ramai lagi jaguh basikal akan dapat dilahirkan dalam kalangan anak jati negeri tersebut.

"Kita juga akan sediakan satu jadual untuk bawa Sofian menjelajah ke sekolah-sekolah di seluruh negeri bagi berkongsi pengalaman supaya dapat menyuntik semangat anak Terengganu," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan