Keluarga Quek Ketujuh Paling Kaya Di Asia - Forbes

Diterbitkan: Jumaat, 11 November 2016 11:20 AM

Tan Sri Quek Leng Chan

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Keluarga Tan Sri Quek Leng Chan dari Kumpulan Hong Leong menjadi keluarga ketujuh paling kaya di Asia tahun ini, dengan nilai bersih gabungan berjumlah AS$18.5 bilion, demikian menurut senarai terkini Forbes.

Lebih daripada 15 ahli keluarga mengawal Kumpulan Hong Leong, yang banyak terlibat dalam pengurusan kewangan dan hartanah.

Keluarga Quek yang berpangkalan di Malaysia dan Singapura berada di kedudukan keenam paling kaya pada tahun lepas, dengan jumlah kekayaan bernilai AS$18.9 bilion.

Menurut Forbes, syarikat ini diasaskan pada 1941 oleh Kwek Hong Png bersama dengan tiga adik-beradiknya.

"Anak sulung Hong Png, Kwek Leng Beng, menjalankan operasi di Singapura.

"Sepupu Leng Beng, Leng Chan menjalankan urusan kumpulan syarikat di Malaysia.

"Sementara itu, cucunya Sherman dilantik sebagai timbalan ketua pegawai eksekutif unit hartanah kumpulan itu pada bulan April," kata Forbes dalam laman web mengenai keluarga Quek/ Kwek.

Berada di kedudukan pertama dalam senarai untuk tahun kedua berturut-turut adalah keluarga Lee dari Korea Selatan (Kumpulan Samsung), dengan gabungan kekayaan berjumlah AS$29.6 bilion, meningkat dari AS$26.6 bilion pada tahun lepas.

Keluarga ini memperoleh 35 peratus kekayaan dari Samsung Electronics.

"Pengerusinya Lee Kun-hee masih koma, manakala anaknya dan pewaris, Lee Jae-yong, sedang berdepan ujian paling besar apabila produk terbaru Samsung, Galaxy, perlu ditarik balik di peringkat global.

"Walaupun begitu, saham Samsung meningkat sehingga 20 peratus," kata Forbes.

Keluarga Chearavanont dari Thailand naik ke tempat kedua dengan nilai bersih kekayaan AS$27.7 bilion.

Keluarga itu memiliki Kumpulan Charoen Pokphand, salah sebuah pengeluar terbesar makanan haiwan dan ternakan di dunia.

Bagi keluarga Ambani, yang ketiga paling kaya, mempunyai nilai bersih gabungan berjumlah AS$25.8 bilion.

"Dhirubhai Ambani memulakan perniagaan perdagangan rempah dan benang dan menubuhkan Reliance menjadi salah sebuah perniagaan sektor swasta terbesar di India.

"Selepas kematiannya pada tahun 2002, Mukesh dan Anil telah membahagikan empayar.

"Kembar Mukesh bekerja dengan Reliance Jio Infocomm and Reliance Retail, manakala anak Anil bekerja di Reliance Capital," menurut Forbes.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan