Sahabat Persaudaraan 1Malaysia Bakal Berstatus Kelab

Diterbitkan: Jumaat, 11 November 2016 9:44 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sahabat Persaudaraan 1Malaysia yang menjadi pentas sukarelawan di kalangan profesional dan pakar menyumbang idea untuk program kemasyarakatan berteraskan pendidikan serta kebajikan bakal memantapkan peranan menerusi penubuhan sebuah kelab.

Bagi memastikan hubungan dan kerjasama terjalin erat di semua lapisan masyarakat, kumpulan ini sepakat untuk mendaftar kegiatan mereka sebagai Kelab Sahabat Persaudaraan 1Malaysia bagi merealisasikan visi dan misi.

Menurut penyelaras Sahabat Persaudaraan, Dr Zamri Noordin, pihaknya kini dalam proses untuk mendaftar kegiatan kumpulan sukarelawan dalam masa terdekat.

"Selepas tertubuhnya kelab ini kita akan mula melantik 100 sukarelawan ini sebagai Ahli Kehormat dan mereka akan berfungsi selaku penasihat bagi memperkemaskan hala tuju kelab.

"Malah kami akan terus menjemput ramai lagi golongan profesional dan pakar sebagai penasihat," jelasnya kepada mStar Online selepas majlis perbincangan dan hala tuju Sahabat Persaudaraan 1Malaysia baru-baru ini.

Menurut Dr Zamri, pertemuan kedua sukarelawan profesional dan pakar ini akan melantik pengerusi penaja dan biro termasuk kewangan, perundangan, pendidikan, kebajikan, penerangan serta pengerusi dalam dan luar negara.

"Turut dipersetujui adalah penubuhan tabung untuk melaksanakan aktiviti atau program yang dicadangkan  sebelum ini.

"Tiga program yang bakal dilaksanakan dengan tema   kemanusiaan dan Malaysia Ku, selain pengiktirafan serta pertandingan melibatkan masyarakat terutama yang telah menyumbangkan dalam pendidikan dan kebajikan," tambahnya.

Selain itu, lima sukarelawan yang dipilih sebagai pengerusi biro mengakui kelab ini sebagai landasan terbaik untuk golongan profesional melaksanakan program kebajikan dan pendidikan kerana ia bersifat bebas tanpa penglibatan parti politik.

Sementara itu, Pengarah Kumpulan Simatex Dr Mohamed Farid yang dipilih mengetuai biro pendidikan menganggap ianya sebagai program ideologi golongan profesional untuk dikongsi bersama masyarakat.

"Dengan adanya kelab seperti ini banyak perkara yang kami boleh kongsikan demi manfaat kepada kebaikan bersama," jelasnya.

Dr Mohamed Farid.

Selain itu, Sahul Hameed Abd Raheem yang merupakan pemilik syarikat kewangan pula berkata, tidak ada unsur-unsur politik dan mereka bebas menyuarakan idea untuk dikongsi bersama.

"Penubuhan kelab ini juga diharap dapat memupuk hubungan sosial dan memberi impak yang baik kepada segenap lapisan masyarakat," katanya yand dipilih sebagai pengerusi biro kewangan.

Sementara itu, seorang lagi penasihat yang dipilih untuk menguruskan program berkaitan perundangan, Shamshudhuha Ishak berharap program yang bakal dilaksanakan dapat membantu golongan yang memerlukan bantuan.

Shamshudhuha Ishak.

"Ia merupakan program rakyat dan saya berharap misi utamakan dapat dilaksanakan dengan lancar," jelasnya yang memiliki firma guaman di Subang Jaya.

Sebagai rekod, pada 24 Oktober lalu buat julung kalinya,  Sahabat Persaudaraan 1Malaysia telah menjadi pentas  gabungan sukarelawan bagi golongan profesional dan pakar berkumpul dan berkongsi idea untuk penambahbaikan  program kemasyarakatan sedia ada.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan