MCA Adakan EGM Ubah Sistem Pengundian

Diterbitkan: Khamis, 10 November 2016 10:36 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: MCA sudah bersedia untuk membuat perubahan besar terhadap sistem pengundian pemilihan bagi membenarkan kira-kira 33,000 perwakilan bahagian memilih pucuk pimpinan parti.

Satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) akan diadakan Sabtu ini bagi meminda Perkara 21 perlembagaan parti untuk mengadakan peruntukan sistem pengundian baharu, mengikut sistem pilihan raya Amerika Syarikat yang telah diterima pakai oleh Umno sejak 2013.

Apabila dilaksanakan, sistem baharu itu akan menyaksikan kira-kira 33,000 perwakilan dari 188 bahagian MCA di seluruh negara secara langsung mengundi presiden parti, timbalan presiden, empat naib presiden dan 25 anggota Jawatankuasa Pusat.

Mengikut sistem pengundian sedia ada, para pemimpin dipilih oleh 2,400 perwakilan pusat pada pemilihan parti itu, yang diadakan setiap tiga tahun semasa mesyuarat agung tahunan (AGM).

Timbalan Setiausaha Agung MCA Datuk Wee Jeck Seng yakin bahawa sistem pengundian baharu tersebut akan menghentikan perbalahan dalaman dan perebutan kuasa kerana ia akan memperluaskan jumlah perwakilan mengundi dan menjadikan parti itu lebih demokratik.

"Parti itu telah menghadapi banyak krisis sebelum ini sehingga menjadi bahan jenaka di kalangan orang ramai. Walaupun pilihan raya umum hanya diadakan sekali setiap lima tahun, MCA mengadakan pemilihan setiap tiga tahun serta beberapa EGM lagi.

"Dengan memperluaskan hak mengundi anggota-anggota kami, diharapkan dapat menghentikan kesemua perbalahan dalaman," katanya.

Sistem pengundian baharu adalah sebahagian daripada proses langkah demi langkah mentransformasi MCA, kata Wee.

"Kami bermula dengan memperluaskan jumlah perwakilan mengundi. Selama ini, persepsi adalah bahawa kami hanya banyak bercakap tetapi tidak melaksanakan. Tetapi sekarang kami benar-benar melakukannya."

Pada bulan lalu, ketika mengumumkan bahawa MCA akan meminda perlembagaannya bagi membolehkan perwakilan bahagian memilih kepimpinan tertinggi, presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata parti itu tidak boleh dibiarkan terus menjadi kucar-kacir akibat pemilihan yang dijalankan.

"Kita mesti buktikan kepada masyarakat bahawa kita nekad untuk berubah dan terus bersatu. Hanya selepas itu, kita boleh memenangi semula rasa hormat orang ramai," katanya.

Pemimpin veteran MCA Datuk Yap Pian Hon menyifatkan pindaan yang dicadangkan sebagai telah "lama tertangguh" dan percaya bahawa perwakilan yang menghadiri EGM Sabtu ini akan memberi sokongan kerana mereka telah beberapa kali diberi taklimat mengenai sistem pemilihan baharu itu.

Penganalisis politik dan Felo Kanan Adjung di S. Rajaratnam School of International Studies, Nanyang Technological University of Singapura Dr Oh Ei Sun berkata kira-kira setahun lalu, beliau berpeluang untuk melihat sistem pengundian baharu MCA dan mendapati ia adalah berdasarkan versi yang diubah suai daripada sistem pilihan raya AS.

Pemimpin tertinggi parti itu, kata beliau, sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah memujuk pemimpin akar umbi untuk menerima sistem baharu agar pilihan raya parti akan menjadi lebih demokratik dan menarik kepada semua pihak.

Menurut Oh, pada mulanya pemimpin akar umbi tertentu menunjukkan bantahan kerana mereka tidak mahu sistem sedia ada diubah dan juga atas beberapa alasan lain yang nyata.

"Para warlord ini, untuk lebih tepat, tidak mahu sebarang perubahan kerana mereka takut kekuatan kuasa mereka akan menjadi lemah jika hak mengundi diperluaskan kepada lebih ramai perwakilan... mereka tidak boleh menjadi dalang politik lagi dan mungkin berakhir dengan kehilangan kuasa tawar-menawar. Di bawah sistem pengundian sedia ada, sesiapa sahaja yang mahu bertanding pemilihan parti mesti mendapat restu daripada golongan warlord ini terlebih dahulu," katanya.

Ahli Tidak Aktif

Sementara itu, beberapa pemimpin veteran parti seperti Yap menyuarakan kebimbangan jika sistem pengundian baharu akan menyaksikan sebilangan besar ahli-ahli tidak aktif MCA akan diberikan hak untuk mengundi dalam pemilihan parti.

"Sesetengah bahagian lebih besar daripada yang lain berdasarkan bilangan keahlian namun mungkin kebanyakannya adalah anggota tidak aktif. Malah, dipercayai terdapat hampir 70 peratus daripada ahli MCA yang tidak aktif, jadi tidak adil untuk memilih mereka sebagai perwakilan bahagian," kata Yap.

(MCA dianggarkan mempunya kira-kira 1.07 juta anggota.)

Beliau berkata pihak kepimpinan perlu menjelaskan lebih lanjut bagaimana ia merancang untuk menangani isu ahli tidak aktif, yang mungkin akan menjadi punca pertikaian antara pemimpin pusat dan bahagian.

Yap juga berkata bahawa satu lagi isu yang memerlukan penjelasan lanjut adalah kuorum minimum yang diperlukan untuk mengadakan EGM.

"Kita ingin tahu sama ada korum sedia ada dikekalkan iaitu satu pertiga daripada 2,400 perwakilan pusat atau adakah ia akan menjadi satu pertiga daripada 33,000 perwakilan bahagian?" katanya, sambil menambah bahawa notis untuk EGM Sabtu ini tidak menyebut mengenai kuorum.

Cadangan untuk meminda sistem pengundian pemilihan MCA telah dalam perancangan sejak lebih 10 tahun.

Pada 2008, Timbalan Presiden ketika itu Datuk (kini Tan Sri) Ong Tee keat mencadangkan bahawa MCA melaksanakan sistem pemilihan langsung, yang akan membolehkan setiap ahli mengambil bahagian dalam pemilihan parti.

Kemudian, Ong melantik Datuk Seri (kini Tan Sri) Dr Chua Soi Lek sebagai Timbalan Presiden ketika itu untuk mengetuai jawatankuasa khas bagi mengkaji cadangan beliau tetapi ia telah diketepikan pada 2012 berikutan keperluan untuk pemimpin parti memperkukuh barisan dan bersatu untuk pilihan raya umum 2013 (PRU-13).

Berikutan prestasi buruk parti itu pada PRU13, Chua melantik timbalan presiden ketika itu, Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai ketua jawatankuasa transformasi khas untuk memulihkan parti, termasuk mengubah sistem pemilihan.

Bagaimanapun, jawatankuasa Liow menyedari bahawa parti itu tidak boleh melaksanakan sistem pemilihan langsung yang dicadangkan oleh Ong kerana isu-isu organisasi yang berkaitan dengan kesukaran mendapatkan butiran penuh semua anggota.

Kemudian dicadangkan versi sistem pemilihan langsung yang diubah suai, sama seperti yang dilaksanakan oleh Umno, untuk membenarkan kira-kira 33,000 perwakilan bahagian memilih pucuk pimpinan.

MCA akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan ke-63 pada Ahad dan  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikannya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: EGM , MCA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan