Tiada Dasar Minum Arak Secara Terbuka Di Tempat Awam Diwarta Di Selangor

Diterbitkan: Rabu, 9 November 2016 3:33 PM

Ean Yong Hian Wah.

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Tiada dasar minum arak secara terbuka di tempat awam diwartakan di Selangor berhubung bentuk tindakan ke atas individu yang berbuat demikian setakat ini, kata seorang anggota Exco negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram negeri, Ean Yong Hian Wah bagaimanapun berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pihak polis boleh mengambil tindakan jika wujud kacau ganggu oleh individu yang mabuk.

"PBT boleh gunakan peruntukan seperti Undang-Undang Kecil Taman untuk ambil tindakan ke atas orang mabuk dan membuat kacau ganggu di kawasan masing-masing dan polis juga boleh ambil tindakan berdasarkan laporan sekiranya mereka membuat kacau di kawasan awam," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini Rabu.

Ean Yong (DAP-Seri Kembangan) berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Rosni Sohar (BN-Hulu Bernam) sama ada Selangor telah mewartakan dasar itu yang melarang aktiviti minum arak secara terbuka di kawasan awam termasuk tindakan kepada mereka yang terlibat.

Selain itu, beliau berkata terdapat peruntukan di bawah Seksyen 18 (1)(2) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 yang boleh dikenakan terhadap orang Islam yang didapati bersalah terlibat dengan minuman keras.

Ean Yong dalam pada itu berkata kerajaan negeri bersedia untuk mengkaji satu dasar yang serupa dengan dasar minum secara terbuka di tempat awam supaya dapat mengawal aktiviti minum arak dengan lebih teratur dan perimeter yang lebih jelas.

Buat masa ini, beliau berkata, kerajaan negeri menetapkan satu garis panduan penjualan minuman keras yang diguna pakai di setiap PBT seperti mensyaratkan peniaga meletakkan papan tanda larangan menjual minuman terhadap pembeli di bawah umur 18 tahun dan menetapkan jarak operasi premis perniagaan minuman keras dari rumah ibadat seperti masjid dan tokong, pejabat kerajaan, sekolah, hospital serta kawasan perumahan.

"Selain itu, mensyaratkan waktu operasi penjualan minuman keras mengikut waktu yang dibenarkan contohnya sehingga 12 tengah malam dan mensyaratkan peniaga untuk memastikan pelanggan tidak minum minuman keras di depan premis dan tempat terbuka," katanya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: dasar minum arak , Selangor

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan