Telco, Mudah Alih Diminta Pelbagaikan Tawaran Dalam Jalur Lebar

Diterbitkan: Rabu, 9 November 2016 8:00 AM

Salleh Said Keruak.

(Ubah saiz teks)

SUBANG JAYA: Syarikat telekomunikasi tempatan dan pemain industri aplikasi mudah alih diminta menyediakan lebih banyak tawaran bagi menggalakkan penggunaan perkhidmatan jalur lebar oleh orang ramai.

Dalam membuat gesaan itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata langkah itu menjadi pelengkap kepada usaha kerajaan dalam menyediakan kemudahan internet laju dengan caj yang murah.

"Langkah terbaru TM (Telekom Malaysia) menyediakan perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi merupakan contoh yang hebat," katanya ketika melancarkan produk digital terbaru Kumpulan Media Star, 'Dimsum', perkhidmatan langgan video-atas-permintaan (VOD), di sini, malam Selasa.

Hadir sama Pengerusi Kumpulan Media Star, Datuk Fu Ah Kiow dan pengarah urusan kumpulan dan ketua pegawai eksekutif, Datuk Seri Wong Chun Wai.

Pada pembentangan Bajet 2017, 21 Oktober lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Tun Razak mengumumkan perkhidmatan jalur lebar talian tetap ditawarkan pada harga RM149 untuk lima megabit sesaat mulai Januari depan dengan kelajuan digandakan dalam tempoh dua tahun dengan harga diturunkan sehingga separuh.

Salleh berkata dalam fokus utama Bajet 2017, kerajaan menyasarkan ekonomi digital melakukan sumbang 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara kasar (KDNK) menjelang 2020.

Justeru, katanya, kementerian itu bersedia memainkan peranan penting dalam mempercepatkan ekonomi digital untuk pembangunan perkhidmatan jalur lebar, pengkomputeran awam, Data Besar dan Internet Untuk Segala-galanya (IoT) yang sudah memacu pendigitalan semua industri.

"Kami akan terus memberi tumpuan terhadap inisiatif yang akan memastikan inklusif untuk semua rakyat Malaysia, memperluaskan liputan jalur lebar dan meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar," katanya.

Beliau berkata Malaysia mencatatkan pertumbuhan kadar penembusan jalur lebar yang memberangsangkan dengan lebih 30 juta langganan tahun lepas iaitu peningkatkan 50 peratus daripada 20 juta dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Mengenai Dimsum, katanya, pengenalan perkhidmatan itu selaras dengan usaha kerajaan mengapai era yang dipacu teknologi maklumat dan komunikasi dan kini kesalinghubungan digital - revolusi dalam aktiviti ekonomi.

Platform penstriman dalam talian memberi akeses kepada kandungan segar dan berkualiti tinggi pada kos yang munasabah, selain menawarkan sari kata tempatan dalam Bahasa Malaysia, Inggeris dan Cina.

Dimsum boleh diakses menerusi aplikasi yang boleh dimuat turun melalui Apple App Store (Google Play Store) atau penstriman langsung daripada dimsum.my pada harga langganan RM15 sebulan.

Dimsum menawarkan kandungan terbaik Asia terutamanya drama, program bersiri, filem, dokumentari dan animasi dari Taiwan, Jepun, China, Thailand, Korea Selatan, Singapura dan Malaysia. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Dimsum , telco , mudah alih

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan