Tiada Pampasan Kepada Pemandu Teksi Akibat Penutupan Stesen NGV

Diterbitkan: Selasa, 8 November 2016 1:19 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Buat masa ini, Petronas Dagangan Berhad (PDB) masih belum bercadang untuk memberi pampasan kepada pemandu teksi yang didakwa kehilangan pendapatan akibat penutupan perkhidmatan Gas Asli Kenderaan (NGV) di 67 stesen Petronas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, perkhidmatan NGV di 67 stesen Petronas di Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Johor yang digantung ketika ini akan beroperasi semula secara berperingkat dalam tempoh sebulan dua lagi.

Beliau berkata, pada masa ini perkhidmatan itu dalam proses penambahbaikan taraf prosedur keselamatan untuk memastikan ia dalam keadaan terbaik.

"Kita minta pemandu teksi bersabar kerana penambahbaikan ini adalah untuk kebaikan dan keselamatan pemandu teksi," katanya ketika menjawab soalan Ong Kian Ming (DAP-Serdang) pada sesi pertanyaan menteri di persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Ong ingin tahu tindakan yang sedang dan akan diambil untuk membantu pemandu teksi yang kehilangan tambang akibat daripada penutupan stesen Petronas NGV di seluruh Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Johor. 

Beliau ingin mengetahui sama ada Petronas Dagangan Berhad (PDB) akan memberi pampasan kepada pemandu teksi yang kehilangan tambang sejak perkhidmatan NGV itu ditutup. 

Pada 30 Oktober lalu, PDB mengumumkan menutup sementara perkhidmatan NGV di 67 stesennya di Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Johor untuk tujuan penambahbaikan prosedur keselamatan.

Langkah itu susulan kematian seorang kontraktor akibat daripada letupan dan kebakaran dipercayai berpunca daripada tangki NGV Petronas di Johor Baru.

Sementara itu, Abdul Rahman menafikan kesemua perkhidmatan NGV di Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Johor ditutup kerana masih terdapat perkhidmatan NGV di 61 stesen Petronas termasuk 22 di Kuala Lumpur dan Selangor.

Katanya, untuk sementara waktu pemandu teksi masih boleh menggunakan bahan bakar alternatif selain NGV sehingga kesemua perkhimatan berkenaan beroperasi semula. - Bernama

Tags / Kata Kunci: NGV

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan