Kuala Lumpur Urus Sendiri Air Menjelang 2017 - Tengku Adnan

Diterbitkan: Selasa, 8 November 2016 9:08 PM

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (tengah) merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Rintis Sistem Kawalan Penyimpanan Air di D'Saji KL, Titiwangsa, Selasa. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Adnan Md Ikshan (dua, kanan) dan Pengerusi Eksekutif Air Simpanan (ASI) Sdn Bhd Shohor Mahamud (kanan) serta Pengarah Urusan ASI Datuk Wan Abd Halim Abd Majid (kiri). Sistem tersebut akan dibangunkan di Titiwangsa bertujuan untuk menakung air hujan yang akan diproses menjadi air bersih bagi disalurkan kepada penduduk di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Satu jabatan pengurusan air khusus untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan dibentuk di bawah Rang Undang-Undang Air, yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada Mac 2017.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata jabatan itu akan berfungsi sebagai satu badan berdikari bagi menguruskan bekalan air untuk isi rumah dan industri di sekitar Kuala Lumpur.

"Sehingga kini, kami bergantung sepenuhnya kepada sumber air dari Selangor dengan warga kota sering menghadapi gangguan bekalan air akibat kelewatan Projek Loji Rawatan Air Langat 2.

"Kami tidak mahu lagi bergantung kepada mana-mana badan luar daripada Kuala Lumpur dan mahu menguruskan sumber air sendiri secara sepenuhnya," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Rintis Sistem Kawalan Penyimpanan Air (WSCS) di sini, Selasa.

Beliau berkata rang undang-undang itu sedang diperincikan sebelum  dibentangkan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air (Kettha) di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Tengku Adnan berkata WSCS merupakan sistem penyelesaian air digital pertama yang diperkenalkan oleh ASI Air Simpanan Sdn Bhd bagi menambah baik kualiti air, memastikan kelangsungan dan kelestarian sumber air di ibu kota untuk jangka masa panjang.

"Sebaik sahaja Rang Undang-undang Air diluluskan sebagai Akta Air, kami akan menandatangani kontrak selama 25 tahun dengan ASI Air Simpanan Sdn Bhd pada tahun depan bagi membolehkan syarikat itu menjadi badan konsesi untuk menguruskan projek tersebut," katanya.

Pengarah Urusan ASI Air Simpanan Sdn Bhd Datuk Wan Abdul Halim Abdul Majid berkata WSCS akan menggunakan telaga tiub untuk menyimpan air hujan dan air semulajadi serta menapisnya dengan menggunakan sistem membran.

Sistem itu akan mengumpul air sama ada secara terus daripada hujan atau air itu masuk daripada pam pengumpul melalui penapis sebelum ke telaga simpanan di bawah tanah atas bangunan.

"Setiap kolam simpanan iaitu telaga tiub direka secara menegak dengan purata 4.5 meter lebar dan 60 meter dalam bagi mengurangkan penggunaan ruang bawah tanah yang boleh menampung sebanyak 716,000 liter air pada satu-satu masa," jelasnya.

Wan Abdul Halim berkata fasa pertama projek itu akan menyaksikan pembinaan 20 telaga tiub dengan kapasiti lebih daripada 14 juta meter padu air sehari di Taman Tasik Titiwangsa.

"Telaga tiub ini akan menyimpan air hujan dan air semula jadi dan kemudiannya air mentah ini akan dijual untuk keperluan sektor industri yang dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun 2018.

"Fasa kedua yang melibatkan pembinaan 100 lagi telaga tiub dijangka bermula sejurus selepas siapnya Fasa Pertama," katanya.

Projek WSCS, yang bernilai kira-kira RM2.4 bilion, menyasarkan 1,200 telaga tiub di 30 lokasi sekitar Kuala Lumpur yang akan disiapkan dalam masa 10 tahun.

Kesemua sistem penyimpanan air itu mampu menyimpan sekurang-kurangnya 85 bilion liter air pada satu-satu masa dan jumlah itu jauh melebihi daripada yang diperlukan oleh warga kota iaitu 33 bilion liter setiap bulan.

"Berdasarkan purata kadar hujan mencapai 48 bilion liter air setiap bulan di Kuala Lumpur, sudah tentu bekalan air akan mencukupi dengan adanya WSCS," katanya.

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan