Farmasi Terpaksa Jual Gula-Gula Untuk Bertahan

Diterbitkan: Isnin, 7 November 2016 8:38 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Walaupun rakyat Malaysia mengadu terpaksa membayar harga yang terlalu tinggi bagi tujuan perubatan, ahli farmasi mendakwa perniagaan mereka sebenarnya semakin merosot.

Sehubungan itu kebanyakan farmasi terpaksa mencari jalan lain dengan menjual gula-gula dan pelbagai produk bukan perubatan untuk terus bertahan.

Menyangkal tuduhan bahawa mereka telah menjual ubat-ubatan pada harga yang tinggi, Presiden Komuniti Malaysia Pharmacy Guild (MCPG) Lovy Beh berkata: "Sebelum ini, ia adalah perkara biasa bagi ahli farmasi untuk mengenakan caj 25-30 peratus di atas harga kos bagi mengekalkan operasi mereka.

"Tetapi hari ini, mereka hanya mengenakan bayaran tambahan sebanyak 15 peratus. Sesetengah daripada ahli farmasi menjual ubat di bawah harga kos."

MCPG berfungsi untuk mempromosi dan melindungi kepentingan pengamal farmaseutikal.

Ia mempunyai 13,147 ahli di seluruh negara.

Beh memberi gambaran bahawa perniagaan ahli farmasi komuniti (CP) tidak begitu memuaskan dengan mengatakan bahawa sebanyak 50 peratus daripada CP bebas tidak mendapat pulangan yang baik.

Untuk memastikan perniagaan mereka terus kekal, Beh berkata CP memberi 'servis yang lebih' walaupun hanya mendapat keuntungan terhad.

"Servis yang lebih bermakna ahli farmasi terpaksa menjual produk pengguna seperti pasar mini.

"Jadi barang bukan farmaseutikal seperti akhbar, majalah, gula-gula dan ais krim terpaksa dijual di premis mereka untuk menarik lebih ramai pelanggan," katanya.

Mereka tidak lagi boleh semata-mata bergantung kepada penjualan ubat untuk mendapat pulangan modal, kata Beh kepada The Star.

Beh berkata "pasaran yang sangat kompetitif" memaksa CP untuk menjual ubat-ubatan di bawah kos.

Akhirnya kesatuan itu melihat lebih banyak perniagaan terpaksa ditutup sejak kebelakangan ini.

Katanya CP terpaksa bersaing dengan rantaian farmasi dan doktor yang dibenarkan untuk mendispens ubat di Malaysia.

Beh berkata Malaysia tidak mengamalkan Dispensing Separation (DS) di mana doktor hanya menetapkan jenis ubat sementara ahli farmasi menjual ubat.

Beliau memberi contoh negara-negara seperti Australia dan Britain yang mengamalkan sistem DS di mana kos dan bayaran balik harga runcit untuk ubat-ubatan telah diseragamkan oleh Kerajaan.

Malaysia, katanya juga perlu bergerak ke arah ini.

Pada 10 Oktober lalu menerusi forum mengenai Undang-undang Persaingan dalam Sektor Farmaseutikal, Menteri  Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menyifatkan Malaysia sebagai negara yang menjual ubat-ubatan farmaseutikal pada harga yang tinggi.

Beliau berkata kekurangan kawalan kerajaan menyebabkan pengeluar, pengedar dan peruncit menetapkan harga.

Tags / Kata Kunci: Farmasi , Farmaseutikal , Lovy Beh

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan