PDRM Umum 12 Pertukaran Pegawai Kanan

Diterbitkan: Sabtu, 5 November 2016 5:17 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran 12 pegawai kanannya yang akan berkuat kuasa 5 Disember depan.

Dalam satu kenyataan, Ketua Komunikasi Korporat PDRM, ACP Datin Asmawati Ahmad berkata pertukaran itu antara lain melibatkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang SAC Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid yang akan menyandang jawatan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah di IPK Sabah dengan memangku pangkat DCP.

Tempat beliau akan diambil alih ACP Zainol Samah yang kini memegang jawatan Ketua Polis Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, dengan memangku pangkat SAC.

Menurut kenyataan itu, Timbalan Ketua Polis Terengganu, IPK Terengganu SAC Datuk Hashim Abd Jalil pula akan bertukar ke Pentadbiran Bahagian Dasar Sumber Manusia, Jabatan Pengurusan, Bukit Aman dengan pangkat sama.

Ketua Penolong Pengarah (Analisis dan Pembangunan Teknologi)(TechAD) Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi, Bukit Aman, SAC Datuk Idris Abdullah akan mengambil alih jawatan yang kini disandang Hashim.

Penolong Pengarah Pengurusan (Keselamatan/Sukan/Rekreasi) Bahagian Pentadbiran Jabatan Pengurusan Bukit Aman ACP N Murtaza Mahmud pula akan mengambil alih jawatan Idris ketika ini dengan memangku pangkat SAC.

Kenyataan itu turut memaklumkan kenaikan pangkat beberapa pegawai kanan polis termasuk Ketua Cawangan Khas IPK Negeri Sembilan ACP Izhar Othman yang dinaikkan pangkat SAC tetapi masih memegang jawatan sama.

Turut dinaikkan pangkat ialah Penolong Pengarah Urusetia/Pematuhan Standard, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, ACP Shamsudin Mat yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Penolong Pengarah Kepolisan Komuniti di jabatan sama dengan memangku pangkat SAC.

Menrut kenyataan itu juga, Supt Redzuan Abd Hamid daripada Supt Pegawai Diwartakan, Unit Pegawai Diwartakan, Cawangan Perjawatan, Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman akan dinaikkan pangkat sebagai Ketua JPJKK IPK Terengganu dengan memangku pangkat ACP.

Supt Perancangan Strategik Urus setia Ketua Polis Negara (KPN) Pentadbiran, Urus setia Pejabat KPN Bukit Aman, Supt Afzanizar Ahmad akan menjawat jawatan sebagai ACP Urusetia KPN di jabatan sama dengan memangku pangkat ACP.

Selain itu, Supt Md Nazri Zawawi yang ketika ini memegang jawatan sebagai Supt Perjawatan (Pembangunan Organisasi), Cawangan Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman akan bertukar ke Cawangan Perjawatan, Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan Jabatan Pengurusan Bukit Aman sebagai Penolong Pengarah Perjawatan (Audit) dengan memangku pangkat ACP.

Sementara itu, Supt Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Supt R. Zahudeen R Toran akan menjawat jawatan Penolong Pengarah Narkotik (Pelucutan Harta), JSJN Bukit Aman dengan memangku pangkat ACP.

Menurut kenyataan itu, Pegawai Turus Pengurusan Dasar/Sumber, JPJKK IPK Kedah Supt Wong Ing Fung akan ditukarkan ke JPJKK, Bukit Aman, sebagai Penolong Pengarah Urusetia/Pematuhan Standard dengan memangku pangkat ACP. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: PDRM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan