Kumpulan Baju Merah Terima Maklumat Palsu Berhimpun Di Putrajaya - Berita Semasa | mStar

Kumpulan Baju Merah Terima Maklumat Palsu Berhimpun Di Putrajaya

Diterbitkan: Jumaat, 4 November 2016 7:26 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Sekumpulan ahli Baju Merah terpaksa pulang hampa selepas menerima maklumat palsu menerusi aplikasi WhatsApp untuk berhimpun di depan perkarangan bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana di sini pada Jumaat.

Kumpulan itu yang diketuai Ariffin Abu Bakar tidak dibenarkan memasuki premis, di mana mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) dan parti dari Sabah diadakan.

Mesej tersebut yang tersebar menerusi WhatsApp, seperti dikatakan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang baru-baru ini meninggalkan Pribumi, menjemput beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghadiri mesyuarat tertutup yang dipengerusikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kerana menyangka "jemputan" itu ditujukan kepada mereka, sekumpulan Baju Merah, kebanyakannya golongan belia yang menaiki motosikal, berkumpul di depan pintu masuk bangunan tersebut pukul 3.20 petang sambil dipantau oleh polis.

Ketika mereka cuba memasuki bangunan, ahli majlis agung Pribumi, Abu Bakar Yahya memaklumkan kepada kumpulan terbabit bahawa mesyuarat itu hanya untuk ahli parti dari Kelantan dan Terengganu.

Beliau menjelaskan mesej WhatsApp itu disebarkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab dengan cubaan mencetuskan masalah.

Ariffin yang merupakan ketua maklumat Baju Merah, berkata, beliau menerima maklumat bahawa himpunan di bangunan itu merupakan cubaan untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kami ke sini untuk mendapatkan penjelasan. Kami tidak mahu mengadakan sebarang tunjuk perasaan," katanya kepada pemberita.

Beliau menambah, tidak adil sekiranya kumpulan Baju Merah tidak dijemput ke mesyuarat itu memandangkan pihak mereka juga merupakan NGO.

Shabuddin Hasan dari Badan Amal Tarbiah SEjagat (Batas) bagaimanapun dijemput ke pertemuan itu.

Tags / Kata Kunci: Baju Merah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan