Tiada Kenaikan Tol Tahun Ini Dan Tahun Depan - Fadillah

Diterbitkan: Khamis, 3 November 2016 8:59 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tiada kenaikan tol bagi 12 konsesi lebuhraya pada tahun ini dan tahun depan, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof. 

Beliau berkata terdapat lapan lebuh raya yang berhak menerima kenaikan tol pada tahun ini dan empat lagi pada tahun depan.

"Jemaah Menteri pada 12 Okt 2016 lalu telah bersetuju memutuskan untuk menangguhkan cadangan pelarasan kadar tol bagi tahun 2016 dan 2017.

"Ini bermakna tidak akan ada kenaikan tol untuk tahun ini dan tahun depan,"katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 peringkat kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.

Fadillah berkata lapan lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), Link Kedua Malaysia-Singapura, Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP),Butterworth-Kulim Expressway (BKE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) dan Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB).

Dilaporkan, lapan lebuh raya itu berhak menaikkan kadar tol dan jumlah pampasan dianggarkan sebanyak RM593 juta perlu dibayar kerajaan jika tidak membenarkan kenaikan itu.

Empat lebuh raya yang sepatutnya menerima kenaikan tol pada tahun depan ialah Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL), Lebuhraya Kajang–Seremban (LEKAS), Lebuhraya Senai–Desaru (SDE); dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE).

Anggaran jumlah pampasan bagi empat lebuh raya itu bagi tahun 2017 adalah sebanyak RM59.77 juta. Sementara itu, mengulas persoalan bagi meningkatkan penggunaan Sistem Binaan Industri (IBS) dalam industri pembinaan negara ini, beliau berkata kementerianmelalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melancarkanTransformasi Industri Binaan 2016-2020.

"Inisiatif itu antara lain untuk mengadakan konsultasi dengan pihak industri pembinaan mengenai pelaksanaan IBS di negara ini.

"Hasil perbincangan ini, pihak industri pembinaan setuju untuk menggunakan kaedah IBS dalam pelaksanaa projek mereka mulai tahun depan (2017)," katanya.

Beliau berkata ini bermakna nilai skor IBS akan ditetapkan sebagai satu syarat wajib dalam memberi kelulusan perintah pembangunan oleh pihak berkuasa tempatan. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Kadar Kenaikan Tol

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan