Kerajaan Selangor 'Kambing Hitamkan' Pelbagai Agensi Untuk Tutup Kelemahan

Diterbitkan: Selasa, 1 November 2016 5:02 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Tindakan kerajaan Selangor yang sering 'mengkambing hitamkan' pelbagai agensi berhubung krisis air dilihat semata-mata mahu menutup kelemahannya dalam menguruskan industri air di negeri itu.

Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang), berkata pelakuan kerajaan Selangor itu sebenarnya hanya mahu menafikan kesalahan sendiri terhadap sebarang krisis air yang kerap berlaku di negeri itu.

"Sebelum kerajaan negeri ambil alih Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd), konsesi itu sering dihentam dikatakan tidak tahu urus air dan tidak tahu jaga loji rawatan air sebagai punca bekalan terganggu.

"Tapi apabila kerajaan negeri ambil alih sepenuhnya industri air, masalah sama tetap berlaku, malah mungkin lebih teruk. Siapa lagi mereka (kerajaan negeri) hendak salahkan? Sekarang JAS (Jabatan Alam Sekitar) dan polis pula jadi mangsa," katanya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) yang membangkitkan isu sabotaj sebagai punca bekalan air terganggu di negeri ini semasa sesi perbahasan Bajet Selangor 2017 pada persidangan DUN.

Ng turut mempersoalkan tindakan polis yang didakwa lambat menjalankan siasatan berhubung laporan itu.

Sulaiman berkata walaupun mempunyai peruntukan untuk membangunkan industri air namun sehingga kini kerajaan Selangor masih gagal menguruskan air secara lebih holistik malah kadar Air Tidak Berhasil (NRW) tetap tinggi.

"Peruntukan projek Sistem Pembesaran Sungai Hibrid (Horas) sebanyak RM400 juta apa cerita? Kita minta kerajaan negeri beri penjelasan mengenai isu ini, pelan mitigasi air juga cukup banyak, peruntukan berbilion untuk air tapi masih berlaku krisis air, apa lagi kerajaan negeri nak jawab.

"Masalah kita sekarang ini bukan sahaja air terawat, air sungai pun jadi masalah," katanya.

Baru-baru ini, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilapor berkata terdapat bukti mengenai pencemaran air di Sungai Semenyih yang menunjukkan 'kecenderungan unsur sabotaj' untuk melemahkan kerajaan negeri memandangkan pilihan raya umum sudah hampir.

Dalam pada itu, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan (BN-Batang Kali) menyatakan Bajet Selangor 2017 hanyalah bajet 'reactionary' kerana ia sekadar menambah inisiatif bajet yang dibentangkan Kerajaan Pusat pada Oktober lepas.

Katanya, perkara itu jelas ditonjolkan menerusi pelaksanaan Skim Smart Sewa kerajaan negeri melibatkan pembelian 134 unit kediaman di lokasi strategik kepada individu yang berkelayakan.

Beliau berkata skim itu menyamai insentif Kerajaan Pusat yang menyediakan 10,000 rumah sewa di kawasan bandar kepada golongan muda dengan kadar sewaan yang lebih rendah daripada kadar pasaran.

"Inilah maksud saya mengatakan insentif Bajet Selangor 2017 meniru Bajet 2017 Kerajaan Pusat. Apa yang dibentangkan dalam bajet Kerajaan Pusat diambil dan ditambah oleh kerajan negeri," katanya. - BERNAMA


Tags / Kata Kunci: Selangor , krisis air

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan