JAS N.Sembilan Siasat Kilang Buang Sisa Cecair Kimia Ke Dalam Parit

Diterbitkan: Selasa, 1 November 2016 5:55 PM

Keadaan Sungai Batang Benar yang berbau busuk dan berbuih dipercayai berpunca dari sisa cecair industri yang dilepaskan terus ke longkang seterusnya mengalir ke sungai berkenaan. fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan sedang membuat siasatan ke atas beberapa buah kilang di Nilai, Negeri Sembilan yang dikesan membuang sisa cecair kimia ke dalam parit seterusnya mengalir ke Sungai Batang Benar pada Isnin.

Pengarahnya, Norhazli Mat Sair berkata pihaknya telah menerima aduan daripada penduduk sekitar kawasan perindustrian Nilai 7 dan Arab Malaysian Industrial Park mengenai pelepasan sisa kilang yang menyebabkan bau busuk itu.

"Berdasarkan rekod, kilang-kilang yang melepaskan sisa cecair itu tidak pernah melakukan perkara itu sebelum ini dan ia merupakan kali pertama yang kami kesan selepas menerima aduan daripada orang awam pada dua hari lepas.

"Selepas menerima aduan itu, pegawai-pegawai JAS dan Jabatan Kimia telah turun padang untuk meninjau kawasan itu termasuk memerhati pengoperasian kilang-kilang yang terlibat dan mengambil sampel air dari parit dan sungai," katanya.

Pada Isnin, Bernama mendedahkan cecair berbuih berbau busuk dilepaskan dari beberapa buah kilang sekitar Nilai dan Semenyih yang mengalir ke sungai seterusnya menyebabkan pencemaran yang mengakibatkan Loji Rawatan Air Semenyih ditutup.

Hasil tinjauan turut mendapati aliran Sungai Batang Benar berhampiran kediaman penduduk di Kampung Batang Benar dipenuhi cecair gelap berbuih yang begitu busuk, selain mengandungi sampah sarap.

Menurut Norhazli, notis amaran telah dikeluarkan kepada kilang-kilang terlibat berdasarkan aduan orang awam mengenai pelepasan sisa cecair ke dalam parit.

"Antara kilang-kilang terlibat termasuk sebuah kilang memproses plastik kitar semula dan kilang besi di Arab Malaysian Industrial Park," katanya.

Katanya siasatan ke atas kilang-kilang perindustrian ke atas pembuangan sisa itu dijalankan di bawah Seksyen 25 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Kami mengambil kira kaedah pengoperasian kilang-kilang yang terlibat, kandungan sisa cecair yang dilepaskan untuk dihantar ke Jabatan Kimia dan (kesan ke atas) penduduk kampung yang terjejas akibat pencemaran sungai, barulah laporan siasatan itu akan dikeluarkan.

"Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana kilang yang membuang sisa cecair kimia yang menyebabkan pencemaran sungai sekiranya hasil siasatan itu didapati positif bahan kimia yang membahayakan kesihatan manusia," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan