Hanya Empat Tol Berhak Naik Tahun Depan - Fadillah - Berita Semasa | mStar

Hanya Empat Tol Berhak Naik Tahun Depan - Fadillah

Diterbitkan: Selasa, 1 November 2016 4:34 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Hanya empat lebuh raya berhak menerima kenaikan tol pada tahun depan berdasarkan perjanjian konsesi lebuh raya yang sedang berkuat kuasa.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL), Lebuhraya KajangSeremban (Lekas), Lebuhraya SenaiDesaru (SDE) dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE).

"Anggaran jumlah pampasan tol tahun 2017 bagi empat lebuh raya tersebut ialah RM59.77 juta," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Lim ingin tahu hasil perbincangan dengan syarikat konsesi lebuh raya yang akan menaikkan tol tahun depan dan jumlah pampasan yang perlu dibayar kerajaan sekiranya tol tidak dinaikkan.

Lim turut bertanya mengenai kos pembinaan dan kutipan tol di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) setakat ini, serta sebab tol di lebuh raya itu tidak dimansuhkan.

Fadillah berkata lebuh raya itu dibina pada 1989 dan siap pada 1994 dengan kos RM5.9 bilion yang ditanggung sepenuhnya oleh syarikat konsesi kecuali kos pengambilan tanah yang ditanggung kerajaan.

Berdasarkan perjanjian asal (1988), beliau berkata konsesi lebuh raya itu sepatutnya tamat pada 2018 namun, berikutan usaha mengurangkan kesan kenaikan tol, kerajaan terpaksa menstruktur semula kadar tolnya iaitu pada 1999, 2002 dan 2011.

"Di bawah penstrukturan PLUS terkini (2011), semua konsesi tol lebuh raya di bawah syarikat PLUS Berhad termasuk Lebuhraya Utara Selatan telah diselaraskan yang mana ia akan berakhir pada 31 Dis 2038," katanya.

Fadillah berkata sehingga akhir 2015, jumlah kutipan tol keseluruhan di Lebuhraya Utara Selatan sahaja ialah RM36.39 bilion.

Jumlah pampasan tunai yang telah dibayar kepada syarikat konsesi PLUS berikutan penangguhan kenaikan tol bagi lebuh raya berkenaan untuk tempoh sehingga 2015 ialah RM917.1 juta, katanya.

Beliau menjelaskan walaupun syarikat konsesi menerima jumlah kutipan tol yang tinggi, ia tidak bermakna mereka mengaut keuntungan yang besar kerana ia perlu dibelanjakan untuk pelbagai komitmen lain.

"Secara purata syarikat konsesi perlu membayar balik pinjaman kepada institusi pemberi pinjaman atau bank sebanyak 45 hingga 50 peratus daripada hasil kutipan tol yang diperoleh, operasi dan penyelenggaraan (20 peratus) serta kos untuk membaik pulih dan menaik taraf lebuh raya (15 hingga 20 peratus)," katanya.

Katanya, hasil pulangan atau keuntungan kepada pemegang saham pula dianggarkan sebanyak 10 peratus sahaja daripada hasil kutipan tol keseluruhan. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Tol , Menteri Kerja Raya , Fadillah Yusof
   

iklan

Video

Selasa, 19 Jun 2018 1:13 PM

Takdir ibu & anak 'pergi' bersama

Selasa, 19 Jun 2018 8:30 AM

Cabaran anyam ketupat!

Isnin, 18 Jun 2018 8:00 AM

mStar teka lagu Raya - Challenge

Jumaat, 15 Jun 2018 6:00 AM

Raikan Syawal, bukan 'membawang'

Rabu, 13 Jun 2018 3:40 PM

Perihal suka iklankan maksiat di Instagram

Rabu, 13 Jun 2018 8:00 AM

Jangan sibuk main 'game' dalam bulan puasa

Selasa, 12 Jun 2018 4:06 PM

Cabaran RM15 di bazar Ramadan

Selasa, 12 Jun 2018 9:00 AM

Wartawan mStar pening pilih baju raya

Kolumnis

iklan

Iklan