Sokong Beg Kertas, Kotak Kitar Semula Ganti Beg Plastik

Diterbitkan: Ahad, 30 Oktober 2016 9:24 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Sejak 1 Januari 2011 Pulau Pinang telah menguatkuasakan dasar 'Tiada Beg Plastik' di seluruh negeri itu, bagi mengurangkan kesan karbon.

Dasar menerusi Kempen Tiada Beg Plastik itu turut menggalakkan penduduk Pulau Pinang membawa sendiri beg untuk membawa barangan belian mereka bagi mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan beg plastik.

Namun, hampir memasuki tahun ketujuh selepas kempen itu dilancarkan, orang ramai masih sanggup membayar 20 sen untuk setiap beg plastik, sekali gus menunjukkan kempen tersebut gagal memberi impak terhadap sikap penduduk.

Ketika ini, pasar raya utama dan pasar besar serta beberapa rangkaian restoran makanan segera mengenakan bayaran 20 sen bagi setiap plastik ke atas pelanggan mereka.

Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N.V Subarrow berkata kerajaan negeri harus menetapkan tempoh tertentu bagi mengukur keberkesanan kempen itu, bukannya terus mengenakan caj 20 sen bagi setiap beg plastik.

"Selepas hampir tujuh tahun, orang ramai harus sedar keburukan plastik tetapi kita masih boleh melihat mereka tetap menggunakannya. Ini menunjukkan kempen itu gagal memberi kesan kepada penduduk," katanya.

Subarrow juga meminta kerajaan negeri dan pasar raya mengambil langkah berani untuk menukar beg plastik kepada beg kertas atau kotak kitar semula seperti yang dilaksanakan di luar negara.

"Kertas adalah mesra alam dan beg kertas dibuat menggunakan kertas kitar semula. Ini secara langsung mampu mengurangkan kebergantungan ke atas plastik dan pada masa sama mengitar semula kertas. Ia adalah situasi menang-menang," katanya.

Tinjauan mendapati ramai yang bersetuju dengan cadangan penukaran beg plastik kepada beg kertas atau kotak kitar semula.

Wan Humaira Wan Roslan, 33, mengalu-alukan langkah itu kerana ia lebih selesa dan mesra alam.

"Kadang-kadang saya terlupa bawa beg sendiri ketika membeli-belah dan terpaksa membeli beg plastik bagi mengisi barangan yang dibeli. Namun, lebih separuh daripadanya terkoyak. Jadi, saya alu-alukan cadangan menukar beg plastik dengan beg kertas atau kotak kitar semula," katanya.

Chan Lian Ling, 28, turut berkongsi pandangan sama dan pada masa sama mempersoalkan ke mana perginya wang untuk membeli beg plastik itu.

"Saya sanggup membayar jika terdesak tetapi saya mahu tahu di mana wang hasil kutipan itu disalurkan. Bukan semua kedai terbabit dengan kempen itu tetapi semua peniaga mengenakan caj beg plastik termasuk kedai runcit," katanya.

K. Ganesh, 55, berkata Kempen Tiada Beg Plastik itu adalah langkah yang baik tetapi ada kecacatan dalam pelaksanaannya.

Menurutnya kempen itu sepatutnya memberi didikan kepada orang ramai, bukannya menjadi tempat membuat wang bagi sesetengah pihak.

"Semua kedai mengenakan caj 20 sen sedangkan mereka tidak mengambil bahagian dalam kempen itu, tetapi kerajaan negeri tidak mengambil tindakan. Oleh itu, saya setuju 100 peratus dengan cadangan menghentikan jualan beg plastik dan menggantikannya dengan beg kertas," katanya.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh berkata wang yang dikutip dalam Kempen Tiada Beg Plastik digunakan untuk membasmi kemiskinan di negeri tersebut.

Phee turut memberi amaran kepada semua pasar raya dan kedai runcit untuk mendaftar dengan kerajaan negeri bagi Kempen Tiada Beg Plastik atau berdepan tindakan daripada pihak berkuasa tempatan.

"Mereka mendakwa hanya mengikut langkah persekutuan yang mengenakan peraturan tiada beg plastik pada setiap Sabtu. Mereka perlu sedar, mereka berada di Pulau Pinang dan perlu mengikut dasar tiada beg plastik setiap hari yang diambil kerajaan negeri," katanya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: beg kertas , kotak , 'Tiada Beg Plastik'

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan