Siasatan Menyeluruh Punca Sungai Buah Tercemar - Wan Junaidi - Berita Semasa | mStar

Siasatan Menyeluruh Punca Sungai Buah Tercemar - Wan Junaidi

Diterbitkan: Sabtu, 29 Oktober 2016 4:45 PM

Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Siasatan bersepadu akan dilakukan secepat mungkin bagi mengenal pasti punca pencemaran di Sungai Buah yang mengalir ke Loji Rawatan Air Sungai Semenyih, kata Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar itu berkata beliau telah mengarahkan ketua pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk melakukan siasatan bersama kerajaan negeri Selangor.

"Kita mesti mengenal pasti dan menyaman pihak bertanggungjawab. Kita perlu menggunakan undang-undang yang ada seperti Ordinan Kerajaan Tempatan, undang-undang dan peraturan JAS serta hukuman berat bagi kesalahan seperti ini," katanya kepada pemberita di sini Sabtu.

Beliau percaya pencemaran itu tidak dilakukan secara sengaja kerana ia berterusan antara dua hingga tiga hari lalu.

"Sama ada orang atau pemilik kilang yang cuai, jahil atau tidak prihatin tentang kesan pembuangan air buangan ke dalam sungai, kita akan menyiasat hingga ke akar umbi.

"Tapi saya mesti tekankan di sini, kita hanya akan menyiasat dan kemudian merujuk hasil siasatan kita kepada Pejabat Peguam Negara untuk menentukan pendakwaan," katanya.

Beliau juga berkata beliau telah menerima pelbagai laporan bahawa pencemaran dikatakan berpunca daripada hasil buangan sisa dari kawasan perindustrian Nilai, Negeri Sembilan. - BERNAMA


Tags / Kata Kunci: Sungai Buah , pencemaran
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan