Nekad Selamatkan Isteri Walau Api Marak, Asap Tebal - Pegawai Teknikal HSA

Diterbitkan: Rabu, 26 Oktober 2016 10:14 PM

Petugas Hospital Sultanah Aminah (HSA) pagi Rabu melakukan aktiviti pembersihan wad-wad yang terjejas susulan kebakaran yang berlaku di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital itu yang meragut enam nyawa, Selasa. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Seorang pegawai teknikal Hospital Sultanah Aminah (HSA) nekad untuk masuk melalui tingkap dan meredah api yang marak serta asap tebal untuk menyelamatkan isterinya yang terlibat dalam insiden kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU), hospital itu Selasa.

Menceritakan detik cemas itu, Mohd Hasmidi Mat Jais, suami kepada Nur Suhaily Sulaiman berkata dia berlari ke ICU sebaik sahaja mendapat panggilan daripada isterinya yang menyatakan bilik ICU terbakar kira-kira 9.00 pagi.

"Memang api marak dan asap tebal, saya masuk dan cari isteri saya walaupun orang cuba halang sebab fikirkan yang dia isteri saya," kata pemuda berusia 26 tahun itu kepada Bernama ketika ditemui di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini Rabu.

Nur Suhaily Sulaiman, 23, merupakan seorang daripada tiga kakitangan HSA yang cedera akibat terhidu asap susulan kebakaran di hospital berkenaan pagi semalam.

Mohd Hasmidi berkata asap yang tebal menyukarkan dirinya untuk selamatkan  Nur Suhaily yang merupakan jururawat di ICU tetapi bersyukur apabila melihat kelibat isterinya.

Tanpa membuang masa beliau membawa isterinya keluar melalui tingkap dan membawanya turun ke bawah.

Mengimbas keadaan ketika itu, Mohd Hasmidi berkata keadaan ketika itu sangat kelam kabut memandangkan semua orang cuba menyelamatkan diri masing-masing.

"Saya sampai muntah tiga kali sebab asap sangat tebal, saya bersyukur isteri saya selamat," katanya.

Mohd Hasmidi berkata isterinya kini telah sedar dan sedang mendapatkan rawatan di HSI.

"Dia sedar saya ada di tepinya dan dia masih tidak boleh bercakap tetapi kalau kami ingin berkomunikasi, dia akan tulis menggunakan pen. Doakan dia cepat sembuh," katanya.

Dalam kejadian pada kira-kira 9 pagi semalam, meragut nyawa enam pesakit, iaitu empat wanita dan dua lelaki.

Mereka adalah antara tujuh pesakit di ICU berkenaan manakala seorang pesakit lagi ditemui selamat dan masih dirawat di HSA.

Selain Nur Suhaily, dua lagi kakitangan HSA yang cedera dikenali sebagai Nurul Ain Zulkarnain, 24 dan pelajar fisioterapi, Nur Shafikah Hamzah, 20.

Dalam pada itu, ibu saudara kepada Nurul Ain meminta orang ramai mendoakan kesihatan anak saudaranya itu.

Hanya mahu dikenali sebagai Siti, 40, dia berkata menurut doktor, anak saudaranya itu kini semakin stabil namun masih memerlukan alat bantuan pernafasan.

"Saya rapat dengan dia (Nurul Ain), memang dia baik orangnya. Kita doakan sama-sama agar dia semakin pulih... insya-Allah," katanya yang ditemui Bernama selepas melawat anak saudaranya itu di Hospital Sultan Ismail (HSI) hari ini.

Insiden kebakaran di hospital itu turut menarik perhatian netizen yang memuji keberanian warga hospital berkenaan untuk menyelamatkan pesakit selain mendoakan semua jururawat, termasuk Nurul Ain yang cedera parah segera sembuh.

Suhaida Mat Jusoh melalui laman sosial Facebooknya berkata beliau bangga dengan sikap dipamerkan semua jururawat yang berusaha membantu pesakit lain dalam situasi itu.

"Selalu dengar masyarakat kutuk misi (jururawat)... tapi bila kejadian macam ini baru semua sedar yang misi juga sanggup bergadai nyawa demi nyawa orang lain. Bangga dengan semangatmu semoga dipermudahkan segalanya," katanya.

Rogayah Yah juga melahirkan rasa simpati terhadap nasib yang menimpa jururawat Nurul Ain dan mendoakan beliau diberi kesembuhan.

"Sanggup bertarung nyawa engkaulah wirawati, kami bangga buatmu. Doa kami buatmu dan mangsa...semoga cepat sembuh" katanya menerusi catatan di laman sosial.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Datuk Ayub Rahmat berkata sehingga kini, 54 pesakit telah ditempatkan di HSI, 28 orang di Hospital Permai, Kempas dan selebihnya diletakkan di wad-wad lain di HSA.

Tags / Kata Kunci: kebakaran HSA , pegawai teknikal , ICU HSA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan