Kebakaran HSA: TPM Mahu Suruhanjaya Siasatan Ditubuhkan

Diterbitkan: Selasa, 25 Oktober 2016 8:00 PM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika melawat waris keluarga mangsa yang terkorban dalam kebakaran di tingkat dua, Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) di rumah mayat HSA Selasa. Turut kelihatan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (dua, kiri) dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. S.Subramaniam. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Suruhanjaya Siasatan ditubuhkan bagi menjalankan siasatan terperinci kejadian kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Selasa yang mengorbankan enam nyawa.

"Hasil siasatan itu kemudiannya akan digunakan sebagai panduan kepada semua hospital di negara ini terutama bagi hospital yang perlu diubah suai atau dinaik taraf," katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kebakaran dan menziarahi anggota keluarga mangsa.

Beliau menyentuh kepentingan aspek penyelenggaran termasuk sistem pendawaian dan keperluan menaik taraf struktur bangunan di hospital bagi mengelak kejadian serupa berulang.

Beliau menarik perhatian bahawa satu lagi perkara yang perlu diberi tumpuan ialah jalan-jalan menuju ke hospital.

Ahmad Zahid berharap Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam dapat membentangkan satu laporan penuh dalam mesyuarat Kabinet minggu hadapan.

Timbalan perdana menteri memuji usaha barisan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang bertindak segera membantu mangsa, pesakit dan orang ramai di HSA.

"Kami di kerajaan pusat akan membantu sebaik boleh yang kita mampu lakukan.
Diharapkan pada mesyuarat Kabinet minggu depan Datuk Seri S. Subramaniam akan dapat membentangkan (laporan penuh) supaya tindakan susulan dapat dibuat segera".

Ahmad Zahid turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pasukan penyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia dan kakitangan di HSA yang mengambil tindakan awal menyelamatkan mangsa dan memindahkan pesakit-pesakit ke tempat selamat.

Bagi memastikan HSA kembali beroperasi secara normal, tindakan segera jangka pendek yang akan diambil adalah menyediakan kemudahan ICU di satu lokasi hospital itu yang lengkap dengan peralatan secukupnya.

Bagi langkah jangka panjang, segala sistem pendawaian di HSA akan diperbaiki dan pembelian peralatan baharu ICU dilakukan dengan kadar segera.

"Saya sendiri akan bincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk sediakan peruntukan khusus bagi penyediaan jangka panjang di ICU hospital ini.

"Satu "forensic accounting" dan "management accounting" akan dilakukan bagi meneliti sama ada wujud kelemahan dari segi pengurusan hospital," katanya.

Ahmad Zahid berkata dalam jangka masa panjang, adalah wajar bagi hospital lama seperti HSA bukan sahaja dipindahkan ke bangunan baharu tetapi juga memperoleh peralatan baharu bagi mengelakkan kejadian serupa berlaku di tempat sama.

"Saya tidak mahu 'sudah terantuk, baru tengadah'. Saya yakin Menteri Kesihatan sendiri akan bawa perkara ini kepada Jemaah Menteri untuk tindakan segera dilakukan dan peruntukan dapat diwujudkan bagi melaksanakan perancangan sederhana dan panjang," kata beliau.

Menjawab soalan sama ada khidmat penyedia perkhidmatan kemudahan hospital akan dikaji semula berikutan kebakaran itu, Ahmad Zahid berkata mereka tertakluk kepada perjanjian antara syarikat konsesi berkenaan dan Kementerian Kesihatan.

"Saya yakin penasihat undang-undang kementerian (Kesihatan) dan pegawai-pegawai Jabatan Peguam Negara akan memberikan nasihat kepada kementerian dan saya sendiri, insya-Allah jika diminta, akan melakukan penyelarasan bagi mengambil tindakan khas," katanya.


iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan