Johor Cadang Kenakan Caj Pemaju

Diterbitkan: Isnin, 24 Oktober 2016 10:43 PM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Kerajaan negeri Johor bercadang mengenakan Caj Pemajuan ke atas pembangunan yang akan dilaksanakan, selaras peruntukan Seksyen 32 Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd Latif Bandi berkata perkara tersebut kini di peringkat akhir perbincangan sebelum dibentangkan kepada Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam masa terdekat.

"Perkara ini masih dalam perbincangan, kita ada mengambil contoh dari negeri lain yang telah lama melaksanakan perkara ini. Kita jangka ia mula dilaksanakan tahun hadapan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Garis Panduan Perancangan Pangsapuri Perkhidmatan dan Pembangunan Bercampur Negeri Johor 2016, di sini, Isnin.

Caj Pemajuan dikenakan jika rancangan tempatan atau pengubahan rancangan tempatan menyebabkan perubahan penggunaan, ketumpatan, atau luas lantai berkenaan sehingga menaikkan nilai tanah itu.

Beliau berkata, ia akan dikenakan ke atas pemohon sekiranya pembangunan yang diluluskan mengalami perubahan penggunaan tanah, luas lantai, ketumpatan atau kepadatan (densiti) yang telah menaikkan nilai tanah tersebut.

Abd Latif berkata caj pemajuan bertujuan menampung peruntukan menyediakan dan memperbaiki infrastruktur dan kemudahan awam bagi kawasan berkenaan akibat kelulusan perancangan yang diberikan.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri boleh membuat kaedah-kaedah bagi menjalankan caj pemajuan sebagaimana termaktub di dalam Akta 172, katanya.

Bagaimanapun, katanya, kadar caj yang dikenakan tidak memberikan impak besar kepada harga jualan unit pembangunan.

"Caj pemajuan ini akan memberi faedah bukan sahaja kepada PBT, malah kepada pemaju, komuniti dan negeri," kata beliau.

Dalam perkembangan sama, Abd Latif berkata, seminar berkenaan diadakan bagi memastikan pemaju perumahan memahami peraturan yang dikenakan kerajaan negeri bagi membangunkan sesebuah kawasan.

Beliau berkata Pelan Pembangunan Komprehensif (CDP) 2 bagi perancangan dan pembangunan di bahagian Johor Selatan menetapkan pangsapuri perkhidmatan yang diperlukan di Iskandar Malaysia sehingga 2025 adalah sebanyak 26,677 unit sahaja.

"Bagaimanapun, sehingga suku kedua 2016, terdapat kira-kira 95,150 unit pangsapuri perkhidmatan telah dan akan ditawarkan di negeri ini," katanya.

Keadaan itu telah menimbulkan beberapa isu dan masalah dari segi penyediaan kemudahan awam dan rumah mampu milik yang perlu disediakan bagi tujuan pembangunan perumahan.

"Untuk mengatasi kesan langsung daripada perubahan fungsi pangsapuri perkhidmatan serta isu yang timbul, konsep pembangunan bercampur adalah wajar dipraktikkan. Penyelesaian yang holistik, kreatif dan efektif diperlukan sebagai panduan perancangan pada masa hadapan.

"Oleh itu, garis panduan ini bertujuan memandu pembangunan yang berkualiti dengan kemudahan awam serta infrastruktur yang baik dan lengkap, persekitaran yang selamat, selesa dan memenuhi keperluan pembeli dan komuniti," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan