KBS, MoF Bincang Luaskan Skop Pelepasan Cukai Gaya Hidup

Diterbitkan: Ahad, 23 Oktober 2016 6:08 PM

Khairy Jamaluddin.
(Ubah saiz teks)

REMBAU: Kementerian Belia dan Sukan akan berbincang dengan Kementerian Kewangan (MoF) untuk memperluas lagi skop pelepasan cukai gaya hidup seperti yang diumumkan dalam Bajet 2017.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata antara inisiatif di bawah pelepasan cukai gaya hidup tersebut ialah keahlian gimnasium.

"Ada belia yang minta agar pelepasan cukai gaya hidup ini tidak dihadkan kepada keahlian gimnasium sahaja, tetapi juga diperluaskan kepada keahlian kelab sukan lain seperti kelab futsal dan sebagainya.

"Perkara ini akan saya bangkitkan dengan MoF dan saya akan berbincang mengenainya dalam masa terdekat kerana saya masih menunggu butiran berkenaan pelepasan cukai gaya hidup ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada peserta 'Rembau Challenge 2016' dan 'Fun Run Rembau Challenge' di Dataran Rembau pada Ahad.

Turut hadir Undang Luak Rembau, Datuk Lela Maharaja Muhamad Sharip Othman dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Zaifulbahri Idris.

Dalam Bajet 2017 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan, Jumaat lepas, kerajaan mengumumkan pelepasan cukai pendapatan sehingga RM2,500 bagi pembelian bahan bacaan, komputer, peralatan sukan, surat khabar bercetak, telefon pintar dan tablet, langganan internet dan bayaran keahlian gimnasium.

Khairy berkata pelepasan cukai gaya hidup ini merupakan antara  langkah-langkah untuk mengurangkan beban golongan belia yang ketika ini berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi tetapi gaji permulaan yang rendah.

Sementara itu, lebih 2,000 peserta dari pelbagai peringkat umur menyertai 'Fun Run Rembau Challenge' iaitu larian sejauh empat kilometer, dan lebih 600 peserta tempatan dan luar negara menyertai 'Rembau Challenge 2016'. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan