Nama Penang Free School Kekal

Diterbitkan: Sabtu, 22 Oktober 2016 12:08 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Nama Penang Free School akan terus dikekalkan berikutan kelulusan yang diberikan Kementerian Pendidikan.

Pengumuman itu dibuat Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail yang juga merupakan bekas pelajar sekolah berkenaan dalam titah ucapannya sewaktu majlis makan malam sempena sambutan 200 tahun sekolah tersebut.

"Saya ingin mengumumkan sekolah ini akan kekal dengan namanya. Sekolah ini tidak akan dipanggil SMK Penang Free School tetapi kekal dengan nama Penang Free School," titahnya di sini, Jumaat malam.

Penang Free School, sekolah aliran Bahasa Inggeris tertua di Malaysia dan Asia Tenggara meraikan ulang tahun ke-200 hari ini dan lebih daripada 3,000 bekas pelajar dan bekas guru berkumpul di padang sekolah berkenaan untuk jamuan makan malam.

Majlis itu turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai perhimpunan alumni terbesar di negara ini dengan kehadiran 3,130 orang yang berdaftar.

Sambutan itu dirancang Pengerusi Jawatankuasa Sambutan 200 Tahun, Datuk Abdul Rafique Abdul Karim sejak 2011 dan bekas pelajar dari merata dunia kembali ke sekolah berkenaan bagi meraikannya.

Sementara itu, sekolah tersebut masih menanti kelulusan Jabatan Warisan Negara mengenai status warisannya. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Penang Free School

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan