MAS Runding Sewa Pesawat A380 Untuk Haji, Umrah

Diterbitkan: Jumaat, 21 Oktober 2016 10:35 AM

(Ubah saiz teks)

LONDON: Malaysia Airlines (MAS) sedang berunding untuk menyewakan pesawat superjumbo A380 kepada pihak yang merancang perjalanan bagi mengerjakan ibadat haji dan umrah.

Ia adalah satu langkah yang mungkin dapat mengurangkan kerugian kewangan dan menghilangkan beberapa kesan kesuraman ke atas permintaan pesawat terbesar itu baru-baru ini.

MAS kini mempunyai enam pesawat terbesar di dunia, tetapi berkata pesawat Airbus adalah tidak masuk akal dalam keadaan ekonomi sekarang, ketika pengurangan kos menjadi sebahagian daripada penstrukturan semula syarikat.

Percubaan untuk menjual pesawat telah gagal.

Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Peter Bellew berkata, syarikat penerbangan itu sedang berunding mengenai kemungkinan perjanjian sewaan 'wet lease' dengan beberapa organisasi pelancongan agama yang akan menyewa pesawat MAS dan anak-anak kapal untuk membawa jemaah mengerjakan haji dan umrah serta ziarah.

'Wet lease' adalah sewaan jet bersama-sama kos minyak yang dimasukkan sekali dalam nilai keseluruhan sewaan.

Ibadah haji dilakukan umat Islam seluruh dunia di Mekah setahun sekali, dengan lebih dari satu juta jemaah membuat perjalanan melalui udara, manakala ibadah umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang tahun.

Rundingan antara MAS dan pelanggan yang berpotensi bermula kira-kira 10 minggu lalu.

Bellew, yang mengambil alih tempat Christoph Mueller pada Julai yakin dapat mencapai persetujuan sebelum akhir Disember dan pesawat itu akan digunakan selama lapan bulan dalam setahun.

"Saya percaya ia akan berlaku," katanya kepada Reuters.

Rundingan untuk menggunakan semula A380 akan menjadi satu perkembangan baik untuk Airbus, yang terpaksa mengumumkan pemotongan pengeluaran pesawat kerana permintaan yang lemah untuk pesawat besar dengan empat enjin memandangkan syarikat-syarikat penerbangan cemas mengenai situasi ekonomi global.

Banyak syarikat penerbangan berpandangan bahawa menerbangkan pesawat lebih kecil dengan dua enjin kurang berisiko dan lebih murah.

MAS pada Februari berkata, ia telah menangguhkan rancangan untuk menjual beberapa pesawat A380 dan kini akan menyimpan semua enam yang dimilikinya untuk tempoh sekurang-kurangnya sehingga 2018.

Tetapi syarikat penerbangan yang berpangkalan di Kuala Lumpur ini telah berjuang sejak kehilangan pesawat MH370 dan pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine, kedua-duanya pada 2014.

Syarikat penerbangan itu telah dibeli oleh dana negara Khazanah Nasional Bhd selepas bencana sebagai sebahagian daripada pelan pemulihan untuk mengecilkan rangkaiannya dan mengurangkan kos untuk cuba mengembalikan keuntungan menjelang 2018.
Tags / Kata Kunci: MAS , haji , umrah , A380

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan