"Perbahasan Di Parlimen Isu Saman DoJ Boleh Pengaruhi Perbicaraan"

Diterbitkan: Khamis, 20 Oktober 2016 4:18 PM

Pandikar Amin ketika menjawab soalan pada sidang media di lobi Parlimen, Khamis.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebarang perbahasan di Parlimen berkaitan saman sivil Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat boleh mempengaruhi perbicaraan di negara itu, kata Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Beliau berkata, atas dasar itu, perbahasan bersifat subjudis kerana jawapan balas pihak menteri boleh digunakan peguam untuk perbicaraan kes itu walaupun tiada rakyat Malaysia dipanggil menjadi saksi.

"Anda sering bertanya kenapa kes di Amerika Syarikat tetapi diisytiharkan subjudis di sini. Dalam hal ini saya boleh bertanyakan kepada anda, kenapa perlu membahaskan hal di negara itu?

"Perlu difahami, peguam kes itu boleh menggunakan perbahasan di parlimen di sini untuk menyokong kes berkenaan dan ia boleh mempengaruhi perbicaraan.

"Tidak pernah dikatakan selama ini bahawa peraturan subjudis hanya boleh digunapakai di negara sendiri," kata Pandikar pada sidang media di lobi Parlimen, Khamis.

Pandikar juga menekankan bahawa beliau tidak mahu dilihat melakukan sesuatu bagi pihak orang lain.

"Saya tidak mahu dilihat seolah-olah melakukan sesuatu untuk manfaat orang lain, sebab itu saya mahu menjelaskan perkara ini.

"Perlu diketahui sesuatu tindakan undang-undang yang belum selesai perlu dikekalkan di tahap integriti yang tinggi dan tidak seharusnya diperkatakan di media atau pihak lain selain mahkamah," katanya.

Beliau menambah, hal berkaitan politik di sebalik isu berkenaan bagaimanapun bukan sesuatu yang menjadi kebimbangannya.

"Saya tidak kisah mengenainya kerana Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara telah menyiasat dan laporan telah dibentangkan ke parlimen. Jadi ia telah selesai.

"Hanya satu sahaja alasan kenapa mereka (Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) mahu meneruskan isu ini kerana ia berkaitan 1MDB dan saya tidak bimbang," katanya.

Pada Isnin, Pandikar memberitahu beliau telah memutuskan keputusannya muktamad bahawa isu berkaitan DoJ adalah bersifat subjudis.

Bagaimanapun, Kit Siang dan Gobind mencabar ketetapan Pandikar dan menganggap ia tidak adil.

Pada Julai lalu, DoJ menfailkan saman sivil untuk menyita hartanah berkaitan 1MDB kerana dikatakan melibatkan penyalahgunaan lebih RM4 bilion.

Langkah itu dikatakan bagi melindungi kewangan AS dan sistem perbankan di bawah Jabatan Inisiatif Pemulihan Aset Kleptocracy.

Tags / Kata Kunci: Parlimen DoJ , Pandikar Amin Mulia , 1MDB

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan