Campak Ular: APM Bincang Dengan Keluarga Peserta - Berita Semasa | mStar

Campak Ular: APM Bincang Dengan Keluarga Peserta

Diterbitkan: Khamis, 20 Oktober 2016 9:43 AM

Selamat pada sidang media isu penyebaran video viral di media sosial mengenai penggunaan ular dalam modul pembinaan kumpulan murid yang berlaku di Kuala Kangsar, Perak. Foto Bernama

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan mengadakan perbincangan dengan ibu bapa murid Sekolah Kebangsaan Beluru, Kuala Kangsar yang diarah memasuki kolam mengandungi ular ketika latihan bina diri, baru-baru ini.  

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Datuk Selamat Dahalan berkata, pihaknya akan melawat keluarga murid berkenaan pada Khamis, untuk mendapatkan maklum balas sama ada mereka mengalami sebarang masalah atau trauma akibat aktiviti itu.

"Pagi tadi wakil APM, guru sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah telah mengadakan perbincangan dengan kesemua peserta berkenaan.

"Hasil perbincangan dengan peserta, mereka berkata teruja menyertai modul itu pada masa akan datang kecuali sebarang aktiviti yang membabitkan ular," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Mengulas lanjut, Selamat berkata sejak 2012 hingga tahun ini, sebanyak 23 sekolah dengan 1,622 peserta telah menjalani modul latihan itu yang antara lain bertujuan mengukur tahap kerja, kerjasama dalam kumpulan, pematuhan arahan dan komunikasi dalam kalangan peserta.

"Bagaimanapun, penggunaan ular sawa pendek yang tidak agresif pada program itu adalah secara spontan, pertama kali dibuat dan di luar pengetahuan pengurusan APM Perak dan ibu pejabat APM.

"Kalau ikutkan prosedur operasi standard (SOP), penggunaan ular adalah salah dalam mana-mana modul," katanya.

Isnin lepas, satu rakaman vi­deo selama lebih dua minit tersebar di media sosial dan mendapat kritikan netizen apabila beberapa pelajar dalam kolam berselut menangis dan menjerit apabila ular dicampak ke dalamnya.

Menurut Selamat, ular yang digunakan dalam modul berkenaan dipercayai jenis 'ball python' yang tidak berbisa, namun jumlah ular yang digunakan masih dalam siasatan. 

Beliau berkata, tujuan rakaman video itu adalah untuk rekod dalaman jabatan bagi post-mortem program berkenaan.

"Tapi kita tidak tahu macam mana ia menjadi viral. Apa-apa pun siasatan akan selesai minggu ini," katanya yang kesal dengan insiden berkenaan. - Bernama

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan