Pos Malaysia Hasilkan Setem Khas Ulang Tahun Ke-200 Penang Free School

Diterbitkan: Rabu, 19 Oktober 2016 1:59 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) akan mengeluarkan siri setem khas dalam kuantiti terhad bagi meraikan ulang tahun ke-200 Penang Free School, Jumaat ini.

Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia, Diyana Lean Abdullah berkata, pengeluaran setem ini akan dilancarkan di sekolah itu bagi mengabadikan peristiwa penting ini.

“Ini kali kedua Pos Malaysia mengeluarkan siri setem untuk Penang Free School. Kali pertama ketika sambutan ulang tahun ke-150 pada 1966,” katanya dalam sidang media di sini Rabu.

Siri setem itu akan menampilkan tiga koleksi melibatkan  170,000 unit yang memaparkan imej bangunan dan halaman sekolah yang diambil dari pelbagai sudut.

“Imej kawasan sekolah bagi setem 70 sen, pemandangan sekolah dari sudut atas pula 80 sen dan pemandangan panorama sekolah untuk setem 90 sen.

"Setiap setem akan dijual dalam bentuk lembaran mengandungi 20 keping dan tiga keping setiap rekaan ditawarkan pada harga RM2.55,” jelasnya.

Terdapat pelbagai jenis produk filateli lain seperti sampul surat, folder dan Lembaran Mini (MS) akan turut dijual dalam set lengkap pada harga RM71.45 setiap satu.

“Produk fitaleti lain seperti Sampul Surat Hari Pertama (FDC), termasuk risalah, berharga 55 sen, surat bersama setem dijual pada harga RM3.05 dan sampul surat bersama MS berharga RM 5.85 setiap satu. Manakala, folder akan dijual pada RM6.35 sen setiap satu. 

“Siri setem kali ini juga akan disertakan dengan Lembaran Mini (MS) yang memaparkan lencana sekolah dan dihasilkan menerusi teknik “gold foiling” akan dijual pada RM 5.30 setiap satu dan hanya akan dicetak sebanyak 350,000 keping,” katanya.

Beliau menambah, pelajar sekolah itu memberi maklum balas positif berhubung penghasilan setem itu dan beliau menyasarkan penjualan set yang dikeluarkan sebanyak 5,000 akan habis dijual.

Dalam pada itu, Pos Malaysia menyarankan pengumpul setem untuk mendaftar menjadi ahli komuniti Akaun Pesanan Tetap (SODA) bagi menikmati pelbagai faedah istimewa.

Orang awam yang berminat boleh mendaftar secara dalam talian di www.posonline.com.my, atau datang sendiri ke Pos Malaysia Bahagian Filateli di Ibu Pejabat Pos Malaysia, Kompleks Dayabumi, Kuala Lumpur, atau menghubungi 03-22672267 untuk sebarang pertanyaan.

Tags / Kata Kunci: Pos Malaysia , Penang Free School

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan