Curi Pasir: SPRM Tahan Tiga Lelaki Termasuk Penjawat Awam

Diterbitkan: Selasa, 18 Oktober 2016 9:22 PM

Pelekat tertentu digunakan sebagai tanda 'telah kawtim'.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Tiga lelaki termasuk seorang penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam kegiatan curi pasir di sekitar Sungai Pahang sejak dua tahun lalu.

Ketiga-tiga lelaki berusia di antara 48 hingga 58 tahun itu ditahan pada Isnin dalam operasi bersepadu di sekitar Temerloh yang turut melibatkan Pasukan Khas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya dan Pejabat Tanah dan Galian Pahang.

Siasatan awal turut mengenalpasti 10 anggota penguatkuasa yang bersubahat melindungi kegiatan sindiket yang beroperasi sejak pertengahan 2014 itu.

Menurut sumber,  kakitangan awam berusia 48 tahun yang ditahan itu bertugas di Pejabat Tanah dan Daerah Temerloh dan dilaporkan menerima rasuah sebanyak RM8,500 sebulan bagi melindungi kegiatan ini daripada dua pengusaha pasir terbesar di Temerloh.

"Dua  lagi yang ditangkap ialah penyelia syarikat dan seorang pemandu lori yang telah menawarkan rasuah sebanyak RM500 bagi melepaskan enam buah lori yang ditahan SPRM," kata sumber itu.

Timbalan Ketua Pesuruhajaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki mengesahkan tangkapan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.

Ketiga-tiga suspek tersebut akan ditahan reman selama lima hari sehingga 22 Oktober ini.

Jika disabitkan kesalahan mereka akan didakwa mengikut Kesalahan Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Mengikut anggaran Pejabat Tanah dan Galian Pahang, kerajaan Negeri Pahang kerugian hampir RM180,000 sebulan disebabkan kes kecurian pasir ini.

"Mereka menggunakan doket (borang pengeluaran bahan mineral) yang sama untuk muatan serta perjalanan yang berganda bagi mengelakkan cukai yang perlu dibayar kepada pejabat tanah dan daerah.

" Hasil siasatan pada 3 suspek menunjukkan ada satu lagi sindiket yang melindungi lori-lori lebih muatan dengan penggunaan pelekat tertentu sebagai tanda 'telah kawtim'.

"Setiap lori yang bayar wang rasuah bulanan akan dapat satu pelekat bertanda bagi memudahkan ianya dikenalpasti penguatkuasa tertentu.>> "Dalam sekatan jalan raya, lori tersebut tidak akan diperiksa walaupun membawa lebih muatan," katanya.

Pelekat tertentu sebagai tanda 'telah kawtim' digunakan.


Sehingga kini, SPRM bersama pasukan khas JPJ Putrajaya telah menahan enam lori yang digunakan dalam kegiatan curi pasir ini.

Kesemua lori tersebut mempunyai pelekat yang sama dan dipercayai dilindungi sindiket ini.

Selain  itu, SPRM juga telah mengenalpasti pasti sepuluh  lagi anggota penguatkuasa yang terlibat dalam kutipan rasuah secara bulanan dan akan ditahan dalam masa terdekat.

"Bayaran yang setiap orang terima ialah antara RM250 hingga RM350 sebulan daripada sebuah syarikat

"Kesemua pasir dibawa keluar dari Temerloh dan dijual di pasaran Kuala Lumpur dan Selangor.

"Setiap pengusaha perlu membayar wang pelincir ini kepada anggota penguatkuasa sepanjang perjalanan dari Temerloh ke Kuala Lumpur dan Selangor.

"Ini bagi mengelakkan lori-lori ini dari ditahan atas kesalahan membawa lebih muatan dan lain-lain kesalahan," jelas sumber ini.

Tags / Kata Kunci: Cuti pasir , sprm

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan