Sektor Insuran Perlu Beri Tumpuan Kepada Pembangunan Bakat, Teknologi Baharu

Diterbitkan: Selasa, 18 Oktober 2016 5:50 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengendali takaful and insurans perlu memberi tumpuan kepada pembangunan bakat, memanfaatkan teknologi serta meningkatkan kepercayaan di kalangan pelanggan bagi memastikan pertumbuhan mampan industri berkenaan, kata Bank Negara Malaysia (BNM). 

Gabenornya, Datuk Muhammad Ibrahim berkata, sektor insurans dan takaful yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi, telah menjadi lembap sejak beberapa tahun kebelakangan ini.   

"Jumlah aset untuk sektor takaful dan insurans berkembang pada kadar tahunan lebih 13 peratus, lebih tiga kali ganda nilainya kepada RM181 bilion pada 2010 berbanding RM52 bilion pada 2000, manakala penembusan insurans hayat meningkat kepada 51 peratus berbanding 33 peratus daripada penduduk tempatan dalam tempoh yang sama.   

"Bagaimanapun, pertumbuhan insurans hayat kini kekal tidak berubah pada 55 sejak tiga tahun lepas," katanya dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Insurans Malaysia Ke-6 di sini, Selasa.

Mengenai isu berkaitan kekurangan tenaga mahir dalam industri insurans, beliau berkata, perlu ada tumpuan dan pelaburan strategik bagi menarik, mengekal dan membangun kumpulan bakat tempatan.

Menurutnya, sebagai satu cara untuk meningkatkan kumpulan bakat, BNM akan menyokong penubuhan pusat kecemerlangan serantau oleh syarikat insurans dan pengendali takaful bagi memenuhi pasaran serantau dan antarabangsa.

"Ini akan mempunyai limpahan positif dalam meningkatkan kualiti pekerjaan dalam industri tersebut," katanya.

Selain itu, kata Muhammad, penggiat industri perlu berada di depan dan memanfaatkan teknologi baharu agar menjadi lebih cekap dan tangkas, memandangkan penghapusan tarif dan perubahan dalam rangka kerja akan memacu pertumbuhan produk dan saluran penyerahan baharu.

Menurut beliau, oleh kerana penambahbaikan teknologi terus berlaku dansebagai pemangkin kepada inovasi, BNM telah menerbitkan butiran terperinci mengenai Rangka Kerja Sandbox Kawal Selia Teknologi Kewangan.

Ini akan membolehkan uji kaji penyelesaian teknologi kewangan dalam persekitaran secara langsung, tertakluk kepada perlindungan yang sesuai serta keperluan kawal selia, tambahnya.

Mengenai isu kepercayaan pelanggan dalam industri itu, Muhammad berkata, adalah penting untuk pengendali insurans dan takaful terus mengekalkan kepercayaan masyarakat dalam industri itu dengan mereka bentuk produk yang iabenar-benar mahu dan perlu, di samping meneroka saluran penyerahan cekap kos yang baharu.

Sidang kemuncak dua hari bertema 'Strategi Kejayaan Untuk Ketidaktentuan Esok: Memikirkan Semula Paradigma Semasa' dianjurkan Institut Insurans Malaysia.

Ia mengumpulkan penggiat industri bagi memberi pandangan strategik serta mengenal pasti trend yang akan memberi kesan kepada pasaran tempatan. -Bernama

Tags / Kata Kunci: BNM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan