Israel Layan Kami Seperti Penjenayah - Aktivis

Diterbitkan: Selasa, 18 Oktober 2016 9:54 AM

Dr Fauziah Hasan.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ia sepatutnya menjadi pelayaran dengan penuh aman demi solidariti, namun 13 aktivis yang menyertai flotila Women's Boat to Gaza (WBG) berakhir dengan layanan seperti penjenayah oleh pihak berkuasa Israel.

Wakil tunggal Malaysia, Dr Fauziah Hasan menceritakan kembali detik 15 anggota tentera laut Israel yang menahan kapal Zaytouna-Oliva dan menyekat pergerakan mereka, termasuk komunikasi sepanjang perjalanan selama enam jam ke pelabuhan Ashdod, di mana mereka ditahan selama sehari.

Misi ke Gaza itu dipintas pada kira-kira 40 batu nautika dari destinasinya pada 5 Oktober lalu semasa perjalanan peringkat akhir selepas 21 hari bergerak dari Barcelona, Sepanyol.

Dr Fauziah berkata, taktik Israel berbaur ugutan kerana kumpulannya tidak membawa senjata atau bahan-bahan yang boleh mencederakan.

"Bagaimana mereka sanggup datang ke kapal dengan kekuatan umpama 13 'nenek-nenek'? Kami tidak berbahaya. Satu bot (tentera laut) sepatutnya sudah cukup, tetapi mereka datang dengan tiga bot!," imbasnya kembali dalam satu temuramah bersama The Star Online, baru-baru ini. 

Peserta WBG berusia antara 31 sehingga 72 tahun, termasuk penerima hadiah keamanan Nobel, Mairead Maguire dan pesara tentera Amerika Syarikat (AS), kolonel Ann Wright.

Menurut Dr Fauziah, kesemua peserta wanita telah dilatih untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan, termasuk ditahan pihak berkuasa Israel.

"Bila mereka naik bot kami, kami duduk di dek dan memastikan tangan kami boleh dilihat bagi menunjukkan mereka bahawa kami tidak membawa senjata dan bukan satu ancaman.

"Mereka tidak membenarkan kami ke mana-mana tanpa seorang pengiring, walaupun ke tandas," ujarnya.

Sebaliknya, pihak Israel itu menaiki Zaytouna-Oliva bersama kamera Go-Pro dan peranti rakaman lain.

"Sangat tidak adil kerana kami tidak mempunyai sebarang bentuk komunikasi dan tidak dibenarkan untuk menggunakan kamera dan telefon kami sendiri.

"Mereka merakam dan mengambil gambar supaya mereka boleh menggambarkan diri mereka secara positif. Tetapi ia hanya menjadi satu pandangan berat sebelah," katanya.

Dr Fauziah berkata, mereka dilayan dengan baik tetapi tidak adil oleh pegawai Israel, yang tidak membenarkan mereka berkomunikasi dengan dunia luar sepanjang penahanan.

Mereka tidak dapat berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan, dan tidak dapat dipastikan bila mereka akan dibebaskan.

"Kami tiba di Ahshdod pada waktu tengah malam, di mana kami diperiksa secara terperinci dan dipaksa menandatangani satu perintah pengusiran tetapi kami menlak, jadi mereka masukkan kami dalam penjara.

"Pada pukul 6 petang keesokan harinya, mereka beritahu kami bahawa kami akan dibawa ke lapangan terbang untuk pembebasan serta-merta ke negara asal masing-masing," ujar Dr Fauziah.

Dua wartawan Al-Jazeera yang bersama mereka dalam misi itu menandatangani perintah pengusiran dan dihantar pulang ke negara asal dengan segera, manakala yang lain ditahan di dua sel penjara.

Dr Fauziah berkata, sebahagian daripada mereka terpaksa dibogelkan untuk tujuan pemeriksaan oleh pengawal penjara.

"Ada enam tempat tidur di setiap sel. Kami hanya diberikan sehelai seluar dan seluar dalam," katanya.

Bagaimanapun, mereka tidak pernah dicederakan secara fizikal, malah mereka juga mengamalkan pendekatan secara aman semasa berdepan dengan pihak yang menahan mereka.

"Kami menjalani latihan tanpa kekerasan apabila mengendalikan sesuatu situasi, dan apa yang saya pelajari adalah anda boleh menyampaikan mesej anda sekiranya anda menggunakan pendekatan tanpa kekerasan kepada mereka yang ganas," katanya.

Walaupun tidak mencapai matlamat yang dihajati untuk tiba di Gaza, Dr Fauziah berkata, inisiatif WBG yang pertama masih merupakan satu kejayaan.

"Ia merupakan simbol misi kerana kami membawa mesej mengenai Gaza masih di bawah sekatan.

"Penduduk di Gaza gembira apabila kami memanggil mereka dari bot kerana mereka merasakan nasib mereka dibayangi konflik di Syria sejak akhir-akhir ini," tambah Dr Fauziah.

Tags / Kata Kunci: Dr Fauziah Hasan

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan