SPAD Kaji Laksana Trem Di Kuala Lumpur

Diterbitkan: Isnin, 17 Oktober 2016 12:32 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan perkhidmatan trem di ibu negara sebagai satu lagi pengangkutan awam yang kajiannya dijangka siap menjelang akhir 2017. 

Menurut laporan Hala Tuju Transformasi Pengangkutan Awam Darat (PTPAD) 2010-2015, kajian dibuat bagi meningkatkan ciri daya huni di Kuala Lumpur disebabkan sifat trem itu yang lebih efisien dan mesra alam.

Kajian akan menyentuh secara khusus permintaan sebenar dari aspek penumpang, impak ekonomi yang diunjurkan serta langkah teknikal dan kewangan yang diperlukan untuk menyokong pengendalian trem, menurut PTPAD.

Inisiatif itu adalah antara yang dinyatakan menerusi Rancangan Pembangunan Rel Bandar yang merupakan sebahagian daripada Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat Greater KL bagi meningkatkan pengalaman perjalanan menggunakan sistem rel.

Selain itu, kajian Pembaikan Batuan Pertama dan Terakhir Rel Bandar Greater KL akan turut dilaksanakan bagi merancang keutamaan dan pelan jangka panjang terhadap akses pengangkutan termasuk saling hubungan dengan mod lain.  

Menurut PTPAD, undang-undang kecil juga akan dicadangkan sebagai rangka kerja bagi memastikan penggunaan aset kereta api secara optimum.

Dalam perkembangan lain, laporan itu  menyatakan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan melaksanakan projek Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) yang dijadualkan siap pada November 2019.

Projek itu akan melibatkan penyusunan landasan dan alat semboyan baharu bagi menggantikan alat yang telah berusia 20 tahun, pemasangan sistem radio, naik taraf 16 stesen dan pembinaan sebuah sistem bekalan di Sentul, di sini untuk menjana tenaga elektrik tambahan, selain menambah kekerapan tren.

Projek KVDT itu akan dilaksanakan dalam empat fasa membabitkan fasa 1A iaitu dari Rawang hingga Simpang Batu; Fasa 1B (Kuala Lumpur-Simpang Pelabuhan Klang);Fasa 2 (Simpang Batu-Kuala Lumpur); Fasa 3 (Sentul-Simpang Batu) dan Fasa 4 (Simpang Pelabuhan Klang-Salak Selatan).

Laporan PTPAD dikeluarkan sempena Simposium Tahunan Pengangkutan Awam Darat 2016 dan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Isnin. -Bernama

Tags / Kata Kunci: SPAD , Trem

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan