MBIKE Di Tambak Johor Beroperasi Disember Ini

Diterbitkan: Isnin, 17 Oktober 2016 10:43 AM

Penggunaan MBIKE dapat mengurangkan kadar kesesakan di pintu masuk dan keluar negara ini di selatan tanahair.

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Setiap tahun, ribuan rakyat Malaysia dan penunggang motosikal asing dikenakan hukuman penjara atau denda kerana memasuki dan atau meninggalkan negara tanpa berhenti bagi menunjukkan pasport di 150 kaunter Imigresen di Tambak Johor dan Laluan Kedua.

Selama ini, masih ramai yang mendakwa kaunter ditutup atau tiada pegawai Imigresen bertugas untuk mereka mengesahkan dokumen penting itu, malahan kerana tiada palang yang boleh menghalang motosikal melintasi kaunter itu terutama pada waktu puncak.

Buat pertama kalinya dalam tempoh sembilan bulan tahun ini sahaja, kira-kira 104 warga tempatan dan asing telah ditahan kerana kesalahan sama di kedua-dua pusat pemeriksaan.

Pesalah boleh dikenakan denda antara RM1,500 hingga RM1,800, selain penjara dua atau tiga bulan.

Dianggarkan 40,000 rakyat Malaysia berulang-alik ke Singapura setiap hari dan majoriti bekerja di sana.

Jabatan Imigresen merancang untuk menangani masalah itu dengan melaksanakan sistem kawalan sempadan automatik atau dikenali sebagai MBIKE. Ia dijangka dilancarkan Disember ini.

Ia mempunyai persamaan dengan pagar automatik di semua pintu masuk dan keluar di seluruh negara.

Sistem ini yang menggunakan pelekat peranti pengenalan frekuensi radio (RFID) pada pasport  dan pemilik dokumen itu perlu meletakkan ibu jari pada alat bagi membolehkan gantri dibuka.

Sistem terkini yang dipasang ini dapat mengesan jika penunggang motosikal ada membawa pembonceng untuk memastikan kedua-duanya mengimbas ibu jari.

Pengarah Imigresen Johor, Datuk Rohaizi Bahari berkata, sistem itu akan menjadi yang pertama seumpamanya di Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Malaysia khusus untuk pengguna motosikal.

"Sistem ini bukan sahaja dapat meningkatkan kawalan di kedua-dua pusat pemeriksaan tetapi juga mengurangkan kesesakan di Tambak Johor dan Laluan Kedua," katanya.

Pendaftaran secara percuma kini telah dibuka.

"Setakat ini, maklumbalas yang diterima di CIQ begitu menggalakkan dengan 4,500 telah mendaftar sejak 30 September," katanya.

Syarat permohonan termasuk memiliki pasport yang sah untuk lebih enam bulan dan bebas dari disenaraihitam dan berusia sekurang-kurangnya 18 tahun.

Singapura telah melaksanakan sistem pengesahan automatik untuk pengguna motosikal sejak 2008.

Ketika ini, ada lebih 100 lorong motosikal keluar dan masuk di Bangunan Sultan Iskandar CIQ dan 50 lorong di Kompleks Sultan Abu Bakar di Laluan Kedua.

Menerusi sistem itu, kata Rohaizi, ia dapat membolehkan pegawainya memberi tumpuan terhadap tugas yang memerlukan tenaga kerja.

Pada masa sama, pemeriksaan secara manual di CIQ akan diteruskan untuk pengguna motosikal yang tidak mempunyai MBIKE dan warga asing.

Bagi memohon MBIKE, orang ramai boleh ke pusat pendaftaran sehenti di CIQ Johor, menghubungi 07-2182400 atau layari www.mbike.my.

Satu lagi pusat sehenti di Laluan Kedua akan dibuka bulan ini. Kedua-duanya dibuka sepanjang 24 jam.




Tags / Kata Kunci: MBIKE , Tambak Johor , Imigresen

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan