Budiman, Mastura Angkat Sumpah Sebagai Anggota Parlimen - Berita Semasa | mStar

Budiman, Mastura Angkat Sumpah Sebagai Anggota Parlimen

Diterbitkan: Isnin, 17 Oktober 2016 12:26 PM

Parlimen Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-13 di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada Isnin. Foto: Bernama

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Budiman Mohd Zohdi dan Datin Mastura Mohd Yazid masing-masing mengangkat sumpah sebagai Anggota Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang baharu pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-13 yang bermula Isnin.  

Upacara mengangkat sumpah kedua-dua Anggota Parlimen itu berlangsung dihadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Anggota Parlimen lain sebaik persidangan Dewan bermula. 

Budiman, 44, menang dengan majoriti 9,191 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar pada 18 Jun lepas, mengatasi majoriti 399 undi yang diperoleh bekas penyandang dari Barisan Nasional (BN) Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon. 

Beliau yang dilahirkan di Kampung Sungai Limau, Sungai Besar, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ijazah Sarjana Sains (Komunikasi) di Universiti Putra Malaysia (UPM) juga merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang. 

Naib Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu juga pernah dipilih sebagai pendebat terbaik Universiti Asean pada 1996 dan pendebat terbaik Universiti-universiti Malaysia pada 1997.  

Sementara Mastura, 55, berjaya mengekalkan kerusi kawasan Parlimen Kuala Kangsar yang disandang suaminya, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dengan majoriti 6,969 undi pada PRK Kuala Kangsar, juga pada 18 Jun lepas.

Mastura merupakan seorang graduan undang-undang universiti terkemuka perundangan dunia Lincoln's Inn di United Kingdom dan bertugas sebagai seorang peguam selama enam tahun. 

Ibu kepada empat anak itu juga merupakan seorang yang bergiat dalam dunia politik dan menjadi Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Chembong, Negeri Sembilan sebelum mengambil keputusan untuk berehat dan menumpukan kepada keluarganya serta arwah suaminya.

Kedua-dua PRK itu diadakan berikutan kematian Noriah dan Wan Mohammad Khair-il Anuar yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas. -Bernama

   

iklan

Video

Khamis, 12 Julai 2018 1:05 PM

Lempang pelajar ikut suka hati

Selasa, 10 Julai 2018 6:39 PM

Nak 'gugur jantung' tengok pakcik ini memandu

Selasa, 10 Julai 2018 3:06 PM

Pengasuh pijak, hempas anak jagaan

Isnin, 9 Julai 2018 5:30 PM

Ragam si meow & bola!

Jumaat, 6 Julai 2018 5:39 PM

Tak sanggup tengok mayat mangsa kemalangan

Jumaat, 6 Julai 2018 12:48 PM

Durian buah untuk orang kaya?

Khamis, 5 Julai 2018 7:02 PM

Ngeri! Nampak kaki dalam beg baju

Kolumnis

iklan

Iklan