Dr Fauziah Tak Patah Semangat, Gaza Tersemat Kukuh Dalam Ingatan

Diterbitkan: Ahad, 16 Oktober 2016 1:54 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Wanita berhati waja. Itulah yang dapat dikatakan tentang Dr Fauziah Mohd Hasan.

Berusia 59 tahun, beliau mungkin kecil molek namun tekad serta semangat yang membara untuk menghulurkan bantuan atas dasar kemanusiaan begitu terserlah, dan kedua-dua ciri bakal menyaksikan wanita ini kembali ke bumi Gaza bagi membantu golongan tertindas dan memerlukan bantuan.

Israel mungkin berjaya menahan beliau serta 12 aktivis lain pada malam 5 Okt ketika misi kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini, namun ia tidak akan menghalang pakar sakit puan dan obstetrik itu daripada menyertai misi lain ke wilayah Palestin yang berada di bawah kepungan Israel sejak 2007.

Dalam satu temu bual dengan Bernama baru-baru ini, Dr Fauziah yang kembali ke tanah air pada 7 Okt dan disambut sebagai wira negara selepas dibebaskan rejim Israel, berkata tiada yang mampu menghalang beliau daripada menjadi sebahagian satu lagi misi bantuan ke Gaza jika khidmatnya masih diperlukan wilayah kecil yang dihuni kira-kira 1.8 juta penduduk itu.

Dr Fauziah, yang sudah dua kali ke Gaza iaitu pada 2008 dan 2012 di bawah panji-panji Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy), berkata beliau akan mengikuti perkembangan misi ke Gaza seterusnya, dan mendedahkan bahawa satu mesyuarat bakal berlangsung di Stockholm, Sweden pada 15 Mei tahun depan bagi membincangkan perkara itu.

Ibu kepada tiga anak dan nenek kepada enam cucu itu, yang juga ahli lembaga pengarah badan bukan kerajaan (NGO) Humanitarian Care Malaysia (MyCare), menyertai 12 aktivis lain dan anak kapal "Women's Boat to Gaza" (WBG) dalam misi untuk mencabar sekatan Israel ke atas Gaza selepas jalan darat ke semenanjung itu disekat oleh Israel dan Mesir.

Kapal Zaytouna-Oliva, yang belayar dari Barcelona pada 27 Sept, berada hanya 35 batu nautika dari pantai Gaza apabila dipintas tiga kapal perang Israel yang kemudian membawanya ke Ashdod, Israel pada malam 5 Oktober.

Kesemua aktivis dan anak kapal itu ditahan di Penjara Givon namun mereka kemudian dibebaskan.

Aktivis yang berada di atas kapal itu berasal dari Tunisia, Israel, Algeria, Kanada, Turki, Amerika Syarikat, Sweden, Ireland, New Zealand dan Australia termasuk Pemenang Hadiah Keamanan Nobel 1976 iaitu Mairead Maguire dari Ireland, pengarah dan penulis skrip Amerika Naomi Wallace, pakar akademik Norway Gerd Von Der Lippe serta jurulatih merangkap atlet Turki, Cigdem Topuoglo.

Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bahawa semenanjung itu mungkin "tidak boleh didiami" pada 2020 berikutan operasi ketenteraan dan sekatan Israel yang berterusan hampir sedekad terus memarakkan kebimbangan Dr Fauziah terhadap nasib Gaza. 

Beliau menegaskan susulan laporan itu, dunia harus meletakkan Semenanjung Gaza di tempat teratas dalam senarai "keutamaannya." 

"Tolong jangan lupakan Gaza," katanya.

Mengulas lanjut misi WBG, beliau berkata semua aktivis sedar peluang adalah tipis untuk memecahkan sekatan namun misi itu, yang merupakan sebahagian daripada Freedom Flotilla Coalition, menggesa seluruh dunia menyedari masalah rakyat Palestin terutama mereka yang tinggal di Gaza.

"Kami mempunyai dua objektif. Pertama, jika kami (berjaya sampai) ke Gaza, kami sebenarnya telah memecahkan sekatan yang wujud.

"Kedua, jika kami tidak sampai ke Gaza, sekurang-kurangnya kami telah menyedarkan seluruh dunia tentang apa yang berlaku di sana dan apa yang rejim Israel boleh lakukan kepada kami. 

"Pada masa yang sama, kami memberi harapan yang tinggi kepada penduduk Gaza bahawa ramai orang di seluruh dunia masih menyokong mereka."

Bagaimanapun, Gaza bukanlah misi kemanusiaan pertama Dr Fauziah. Beliau pernah menyertai banyak misi lain yang telah mengajarnya nilai kemanusiaan "dengan lebih mendalam setiap hari."

Misi bantuan pertama beliau ialah Kosova pada 1999. Beliau sempat mengimbau  bagaimana penduduk Kozovo, yang kehilangan rumah mereka, begitu bersyukur dengan bantuan yang diterima terutama dari negara Islam seperti Malaysia.

"Mereka berusaha mencari cawan atau gelas dalam timbunan runtuhan dan menyerahkannya kepada kami sebagai hadiah. 

"Meskipun mereka berdepan pelbagai kesukaran kerana sedang berperang, namun mereka masih mahu memberikan sesuatu kepada kami untuk dibawa pulang," kata Dr Fauziah.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Dr Fauziah Mohd Hasan , Gaza

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan