Terima Kasih Baju Merah Tak Ganggu Kami - Bersih

Diterbitkan: Sabtu, 15 Oktober 2016 4:52 PM

Foto twitter @bersih2

(Ubah saiz teks)

SEKINCHAN: Konvoi jelajah Bersih 5.0 dari pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP-Sekinchan, Ng Suee Lim ke Kuala Selangor yang bermula pada pukul 3 petang Sabtu berlangsung secara aman.

Risalah-risalah dijadualkan diedarkan di Taman Bayu, Kampung Baru, Pasir Penambang dan Kampung Permatang, manakala majlis minum petang yang dihadiri para pemimpin Pakatan Harapan di Rumah Tok Za'aba.

Seorang jurucakap Bersih berkata, konvoi pada Sabtu merupakan acara berkenaan yang paling aman setakat ini dan mengucapkan syabas buat gerakan Baju Merah kerana tidak menganggu mereka.

Kebanyakan mereka merujuk kepada insiden yang berlaku dalam konvoi yang diadakan di Sabah Bernam apabila kumpulan Baju Merah dilaporkan menendang dan membaling telur kepada penyokong Bersih.

Ketua gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos dalam satu kenyataan di Facebook pada Jumaat malam berkata, pihaknya tidak akan menghalang program jelajah Bersih 5 pada petang Sabtu.

Sebaliknya beliau berkata, tumpuan mereka adalah kerja-kerja kebajikan terhadap penduduk di Sungai Besar dan Selangor yang berdepan dengan fenomena air pasang besar dari 15 sehingga 19 Oktober.

Jamal berkongsi gambar-gambar kumpulan Baju Merah membuat benteng menggunakan beg pasir di kawasan penduduk bagi menghadapi fenomena air pasang.

Satu ceramah bakal diadakan di Stadium Kuala Selangor, yang dijangka dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.

Konvoi Bersih 5.0 di seluruh negara bakal diakhiri dengan perhimpunan pada 19 November depan.

Tags / Kata Kunci: Baju Merah , Bersih 5.0

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan