MPK Sedia 30,000 Guni Pasir Tinggikan Benteng Di Pesisir Pantai

Diterbitkan: Khamis, 13 Oktober 2016 8:30 AM

(Ubah saiz teks)

KLANG: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyediakan 30,000 guni pasir untuk digunakan bagi meninggikan benteng di kawasan persisiran pantai sebagai persiapan menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku hujung minggu ini.

Yang DiPertuanya, Datuk Yasid Bidin berkata kerja-kerja itu akan lebih tertumpu kepada benteng di persisiran pantai yang rendah ataupun rosak sebelum ini. 

"Kita telah diarah untuk sediakan 30,000 guni pasir yang diambil dari kawasan Sungai Serdang. Semua penguat kuasa MPK dan Jabatan Kerja Raya akan membantu mengisi pasir dalam guni itu yang akan digunakan bagi tujuan tersebut," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke kawasan perindustrian Jalan Kebun Nenas, di sini, Rabu.

Pada Jumaat lepas, Jawatankuasa Bencana Selangor melaporkan air pasang besar dijangka berlaku pada 16 hingga 19 Okt ini dengan kenaikan paras air dijangka setinggi 5.6 hingga 5.7 meter menyebabkan beberapa kawasan di pesisir pantai berisiko banjir dan ditenggelami air. 

Dalam pada itu, Yasid berkata sebanyak enam dewan di bawah seliaan MPK akan dijadikan pusat pemindahan mangsa banjir dan pihaknya akan memastikan bekalan air dan elektrik di dewan berkenaan sentiasa mencukupi. 

Enam dewan itu adalah Dewan Kompleks Sukan Pendamaran, Dewan Serbaguna MPK Pendamaran Jaya, Kampung Idaman, Pelabuhan Klang, Telok Gadong dan Kampung Kuantan. 

Beliau berkata, tiga unit Pasukan Tindakan Khas (Pantas) juga dalam keadaan bersiap sedia untuk digerakkan ke sesuatu tempat yang memerlukan bantuan segera dan MPK turut menyediakan sebuah bot apabila berlaku banjir. 

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Peniaga Tekstil dan Barang Am India Malaysia (Mita), Maheswary Ramasamy memberitahu Bernama pihaknya meninggikan paras platform di hadapan kedai tekstil yang dimilikinya sebagai langkah berjaga-jaga bagi menghadapi musibah banjir. 

Beliau juga meminta MPK untuk membersihkan longkang tersumbat di sekitar kawasan Jalan Tengku Kelana yang menyumbang kepada berlakunya banjir kilat di kawasan mereka.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: MPK , air pasang besar , Yasid Bidin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan