3.2 Juta Usahawan PKS Disaran Daftar Perniagaan - Mustapa

Diterbitkan: Ahad, 9 Oktober 2016 10:23 PM

Mustapa Mohamed (dua,kanan) bertanya sesuatu kepada peserta ketika hadir pada Sesi Townhall dengan Perusahaan Kecil dan Sederhana pada Ahad. Turut hadir Ketua Eksekutif SME Corp Malaysia Datuk Dr Hafsah Hashim (kanan). Foto:Bernama

(Ubah saiz teks)

KOTA BHARU: Seramai 3.2 juta usahawan di seluruh negara yang dikenal pasti belum mendaftarkan perniagaan masing-masing untuk berbuat demikian bagi melayakkan mereka mendapat pelbagai bantuan termasuk pinjaman modal untuk mengembangkan perniagaan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata tindakan tidak mendaftarkan perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyukarkan SME Corp untuk membantu mereka.

"Dalam pelan induk SME Corp, kita telah meletakkan sasaran untuk menggalakkan peniaga mendaftarkan perniagaan, namun kita tidak pasti sebab ramai peniaga yang masih tidak berbuat demikian sedangkan banyak kemudahan yang boleh mereka nikmati," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pendengaran Awam bersama usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) pada Ahad.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Datuk Hafsah Hashim.

Lebih1,200 usahawan di seluruh negeri menghadiri sesi dialog itu. Mustapa berkata setakat ini, terdapat 645,000 usahawan PKS telah berdaftar dengan SME Corp di seluruh negara.

Katanya peratusan sumbangan kepada eksport negara daripada sektor itu pada masa ini sebanyak 17 peratus dan 24 peratus daripada jumlah usahawan PKS berjaya mengeksport produk mereka ke luar negara.

Beliau berkata jumlah itu perlu ditingkatkan melalui penglibatan lebih ramai usahawan PKS untuk menikmati pasaran lebih besar sekaligus meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. -Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan