Jadikan Sukan Budaya Ke Arah Gaya Hidup Sihat Sentiasa

Diterbitkan: Sabtu, 8 Oktober 2016 11:36 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin beramah mesra dengan peserta kayuhan basikal pada Hari Sukan Negara (HSN) 2016 di Presint 2, Putrajaya, Sabtu.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat Malaysia menjadikan sukan sebagai amalan dan budaya ke arah gaya hidup sihat sepanjang tahun dan tidak mengehadkan penyertaannya hanya pada Hari Sukan Negara.

Beliau berkata sekiranya penyertaan bersukan hanya dibuat pada sambutan Hari Sukan Negara, ia tidak akan menjadi wadah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang cergas dan tahap kesihatan yang baik.

"Saya mahu definisi Hari Sukan Negara ialah hari-hari kita bersukan. Tidak perlu bersukan secara formal. Kalau tidak berapa jauh, kita boleh berjalan kaki. Kalau dua atau tiga tingkat, tak perlu naik lif tetapi naik tangga.

"Amalan pemakanan juga perlu dijaga, tolak makanan berlemak, jangan cari soal sedap sahaja sebaliknya sedap dan sihat," katanya ketika merasmikan Hari Sukan Negara 2016 di Presint 2 di sini, Sabtu.

Hari Sabtu minggu kedua Oktober dipilih sebagai Hari Sukan Negara. Ia merupakan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan untuk mentransformasikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan.Najib berkata sukan juga adalah wadah penyatuan untuk meningkatkan semangat patriotisme kepada negara. 

Beliau memberi contoh apabila wira dan wirawati sukan beraksi di Sukan Olimpik dan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil baru-baru ini, rakyat Malaysia tetap memberi sokongan kepada atlet di depan kaca televisyen walaupun mereka beraksi beribu-ribu batu jauh. 

"Ini merupakan detik paling bermakna. Kita berasa bangga dan berasa berdiri lebih tinggi kerana kejayaan mereka memberi inspirasi dan menyerlahkan imej negara," katanya.

Najib berkata sambutan Hari Sukan Negara tahun ini 'cukup luas' dengan penyertaan lebih tujuh juta rakyat Malaysia di seluruh negara berbanding 5.1 juta pada tahun lepas, dan mencatatkan Malaysia Book of Records dengan penyertaan paling ramai.

Sebanyak 22,500 aktiviti diadakan di seluruh negara semasa Hari Sukan Negara termasuk di kawasan kampung dan daerah. Kerajaan-kerajaan negeri dan kementerian-kementerian turut mengadakan pelbagai aktiviti bersempena Hari Sukan Negara. 

Najib turut melakukan 'walkabout' di sekitar Putrajaya bersempena Hari Sukan Negara, termasuk menunjuk bakat memecahkan papan karate bersama ahli taekwondo bagi Program Seni Mempertahankan Diri sebelum menyertai kayuhan menuju ke Dataran Putrajaya di Presint 3.

Sebelum itu, perdana menteri juga melepaskan peserta Kayuhan Hari Sukan Negara.

Beliau juga menyertai hampir 17,000 warga pendidikan dan pelajar berjalan sejauh 4.5 kilometer bagi acara Jalan Ria 1Murid 1Sukan di Dataran Putrajaya.

Najib juga membuat sepakan penalti pada acara futsal dengan pemain badminton negara Datuk Lee Chong Wei menjadi penjaga gol. -- Bernama

 

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan