Orang Asli Gua Musang Bakal Heret Kerajaan Kelantan, Pembalak Ke Mahkamah

Diterbitkan: Sabtu, 8 Oktober 2016 9:46 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penduduk Orang Asli yang menghalang kemasukan pembalak di Gua Musang kini sedang membuat persiapan untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap kerajaan Kelantan.

Peguam mereka, Siti Kasim berkata, komuniti Orang Asli di Pos Tohoi dan Pos Simpor telah menetapkan kawasan yang akan dituntut dan menyediakan bukti penempatan nenak moyang mereka di tanah berkenaan untuk memfailkan saman sivil terhadap kerajaan negeri dan pembalak.

"Mereka mahu teruskan dengan tindakan mahkamah.

"Kami sedang berbincang dengan jawatankuasa Orang Asli terlibat dan mereka telah lama bersedia dengan pelbagai bukti.

"Ia perlu dibawa ke mahkamah kerana kerajaan negeri tidak menunjukkan minat untuk menyelesaikan isu ini," katanya kepada The Star.

Sebelum ini, penduduk Orang Asli terlibat telah menghalang dua laluan ke Hutan Simpan Balah kerana mendakwa kawasan itu diduduki nenek moyang mereka dan kini dicerobah pembalak tidak berlesen.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob bagaimanapun berkata, kegiatan pembalakan itu mendapat kebenaran dan tiada alasan untuk pihaknya mengarahkan supaya operasi itu diberhentikan.

Selain itu, kerajaan Pusat pula mendakwa tidak berkuasa berbanding Kelantan yang sepatutnya menghormati hak tanah Orang Asli termasuk mewartakan kawasan khusus untuk komuniti itu.

Bagaimanapun, kata Siti, langkah membawa kes terhadap kerajaan Kelantan itu ke mahkamah adalah tindakan awal pihak berkenaan.

"Ia bukan sesuatu yang mudah. Pihak pendakwaraya negeri tentu akan mengemukakan pelbagai soalan mengenai tuntutan mereka," katanya.

Tags / Kata Kunci: Orang Asli , Gua Musang , Pos Tohoi , Siti Kasim

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan