Nuri Masih Berguna Untuk Penugasan Keselamatan Dan Keamanan Negara - Pakar

Diterbitkan: Khamis, 6 Oktober 2016 12:53 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penggunaan helikopter Nuri masih relevan dan diperlukan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi pengawasan keselamatan serta penugasan berkaitan ketenteraman negara, menurut pakar penerbangan tempatan.

Insiden helikopter Nuri TUDM mendarat cemas di Tawau pada Selasa lepas, tidak sepatutnya dilihat dari sudut negatif, malah helikopter itu masih mampu memainkan peranannya sebagai ejen pemantau keamanan, operasi mencari dan menyelamat serta penugasan berunsurkan latihan ketenteraan.

Bagi juruterbang ujian Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Prof Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata helikopter Nuri sebenarnya boleh lagi digunakan tetapi tidak boleh digunakan dengan begitu kerap untuk mengelakkan kadar kehausannya.

"Perkhidmatan Nuri harus digilir dengan pesawat baharu yang berada di dalam rangkaian TUDM. Amerika Syarikat misalnya masih menggunakan pesawat Skyhawk yang telah berusia 40 tahun lebih untuk melatih anggotanya dalam latihan akrobatik," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian bagi mengulas insiden sebuah helikopter Nuri TUDM mendarat cemas di bumbung dewan terbuka di SMK Balung menyebabkan 22 orang cedera iaitu 13 anggota TUDM, lapan pelajar dan seorang pekerja pembersihan SMK Balung.

Helikopter Nuri merupakan sejenis helikopter utiliti TUDM yang membabitkan pelbagai tugasan operasi, dan mula berkhidmat dengan badan pertahanan negara itu sejak 1967. Ia masih lagi digunakan sehingga hari ini.

Harridon berkata pesawat Nuri apabila telah lama berada dalam perkhidmatan, mempunyai kemungkinan yang tinggi untuk mencapai kehausan di dalam struktur logam dan enjinnya.

"Ini merupakan faktor teknikal, namun begitu jika pemantauan secara komprehensif dilakukan secara berterusan, pesawat yang lama umurnya seperti Nuri masih selamat lagi digunakan," jelasnya.

Mengulas mengenai punca kejadian, Harridon berkata terdapat beberapa kemungkinan antaranya masalah enjin atau struktur yang telah mengalami kehausan dan aspek ini mungkin sedang disiasat TUDM.

Sementara itu bekas juruterbang, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Mohd berkata Nuri adalah pesawat yang masih diperlukan dan merupakan antara aset TUDM yang diserapkan ke dalam Pasukan Udara Tentera Darat untuk tujuan mobiliti udara.

"Nuri antara aset TUDM yang mempunyai rejim penyelenggaraan yang amat baik.

Usia lanjut sesebuah pesawat itu tidak banyak memainkan peranan sekiranya penyelenggaraan adalah baik," kata bekas pegawai TUDM itu.

Abdul Rahmat berkata tindakan TUDM menggantikan Nuri secara berperingkat-peringkat sebelum ini bukanlah kerana usia atau masalah penyelenggaraan, tetapi adalah untuk menyesuaikan peranan yang dimainkan TUDM seperti pencarian dan penyelamatan tempur (CSAR), 'special forces insertion and extraction' yang memerlukan helikopter yang berperanan khusus.

Beliau berkata Kementerian Pertahanan perlu mendapatkan bajet yang diperlukan bagi membolehkan aset-aset TUDM seperti Nuri dan kelengkapan lain diselenggara dan perkhidmatannya diteruskan dengan baik.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan