Bahaya Sampah 'Terbang'

Diterbitkan: Rabu, 5 Oktober 2016 12:00 PM

(Ubah saiz teks)

PENDUDUK di beberapa kawasan sekitar ibu negara menggesa pihak berkuasa untuk bertindak terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang sering membuang sampah dan serpihan dari tapak pembinaan dari bangunan tinggi hingga mengakibatkan kecederaan orang awam dan kerosakan kenderaan.

Sikap tidak bertanggungjawab pihak yang membuang sampah dari tingkat atas rumah pangsa Jalan Kenanga, Kuala Lumpur menyebabkan seorang wanita cedera di kepala dengan 24 jahitan.

Yip Yoke Cheng, 48 berada di Rumah Pangsa Sri Sarawak yang terletak di Jalan Cheras apabila kepalanya dihentak penyapu yang dibaling penduduk di Blok C.

Apa yang lebih menyedihkan selain kesakitan luka di kepalanya adalah tiada tindakan diambil walaupun laporan telah dibuat di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan polis.

Ketika kejadian kira-kira pukul 11 pagi pada 25 September lalu, Yoke Cheng sedang membantu seorang penduduk yang bertanyakan laluan di situ.

"Ambulans bawa saya ke Hospital Kuala Lumpur tetapi perlu menunggu dua jam untuk mendapat rawatan.

"Doktor maklumkan ada jangkitan pada luka di kepala," katanya yang kemudiannya membuat laporan polis dan ke cawangan DBKL Zon 2 di kawasan kediamannya.

"Pegawai DBKL berkata tiada tindakan dapat dikenakan terhadap penduduk yang melempar penyapu itu kerana tidak tahu unit kediaman pelaku itu," katanya.

Sementara itu, penduduk rumah pangsa Loke Yew, Leong Chee Yin, 64 berkata, sampah dibuang dari tingkap itu perbuatan yang sering kali berlaku.

"Tiap hari ada yang akan buang sampah sama ada lampin bayi, makanan atau tuala wanita di kedua-dua rumah pangsa Loke Yew dan Sri Sarawak.

"Malahan, ada penduduk yang terbunuh kira-kira 10 tahun lalu apabila terkena pisau yang dibuang dari tingkap rumah pangsa tetapi tiada penahanan dibuat kerana tiada bukti, sekali gus pihak berkuasa tidak dapat mengesan suspek.

"Apa yang Yoke Cheng boleh lakukan adalah membuat tuntutan kepada DBKL untuk bayaran hospital dan kehilangan punca pendapatan sepanjang tempoh menerima rawatan," katanya.

Selain itu, penduduk rumah pangsa Sri Sarawak, Lindawathi K.D.Jayasingha, 47 berkata, kejadian itu berlaku sepanjang hari di mana ada penduduk yang akan membuang bahan berbahaya seperti kaca, botol minyak dan objek tajam.


 
Tags / Kata Kunci: DBKL , polis , Sri Sarawak , Yip Yoke Cheng

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan