Kes Culik Tidak Jejas Pelancongan Sabah

Diterbitkan: Sabtu, 1 Oktober 2016 4:20 PM

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (tiga, kiri) memakaikan topi kepada penerjun Base negara Haziq Azlan (tiga, kanan) pada majlis Sambutan 20 Tahun Menara Kuala Lumpur pada Sabtu. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Meor Shahril Anuar (dua, kiri). - BERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sektor perlancongan di Sabah tidak terjejas walaupun negara dikejutkan dengan pelbagai insiden penculikan di kawasan perairan negeri itu.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang berkata, beliau berpuas hati dengan peningkatan pelancong ke Sabah selain mengalu-alukan lebih ramai pelancong asing khususnya dari China.

"Saya mendapati jumlah pelancong ke Sabah semakin meningkat, sekali gus membuktikan isu berkenaan (kes penculikan) tidak merencatkan aktiviti pelancongan di Sabah", katanya di sini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan KL Tower International Jump Malaysia (KLTIJM) 2016 di Menara Kuala Lumpur pada Sabtu.

Acara itu berlangsung sehingga 3 Oktober ini.



Tambah Mas Ermieyati, beliau menyerahkan isu keselamatan di perairan Sabah kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan (Mindef) bagi menyelesaikannya.

Selain itu Mas Ermiyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, penerbangan terus ke Sabah juga memudahkan pengunjung luar untuk menjadikan negeri itu sebagai destinasi pelancongan pilihan.

Sementara itu mengulas mengenai KLTIJM, beliau berkata acara tahunan itu telah menjadi titik peralihan dalam fokus kerajaan terhadap pembangunan pelancongan sukan.

"Malaysia kini sudah dikenali sebagai tuan rumah beberapa acara sukan bertaraf dunia yang membuktikan ia amat bermanfaat kepada masyarakat dan negara kita," katanya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Menara KL, Meor Shahril Anuar KLTIJM 2016 turut mendapat sokongan padu Biro Pelancongan Kuala Lumpur (KLTB) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

KLTIJM 2016 menyaksikan penyertaan 120 penerjun dari negara seperti Australia, Austria, Belarus, Kanada, Denmark, New Zealand, Amerika Syarikat dan  Malaysia.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan