PTPTN Komited Perbaiki Perkhidmatan Dan Tangani Isu Pembiaya

Diterbitkan: Jumaat, 30 September 2016 10:35 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan menambah baik mutu perkhidmatan, termasuk perkhidmatan secara online, dan memberi tindak balas kepada isu yang berlaku selaras dengan teguran yang diberikan oleh semua pihak terhadap badan itu. 

Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata pihaknya akan memastikan bahawa apa jua isu yang dihadapi akan ditangani dengan baik kerana PTPTN mempunyai komitmen yang sangat tinggi dalam mencapai sasaran.

Beliau berkata yang penting penerima pembiayaan PTPTN perlu sentiasa berhubungan dengan pihaknya agar segala isu berbangkit boleh dirunding dan diselesaikan.

"PTPTN mempunyai matlamat untuk mencapai jumlah kutipan balik serta memastikan bahawa dalam kita mengejar sasaran, pada masa yang sama servis kita kepada pelajar dan rakyat juga mesti diberi perhatian," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, Jumaat.

Baru-baru ini Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh memberi amaran agar PTPTN tidak menganiaya peminjam dalam usaha mengutip semula hutang pinjaman namun tindakan perlu diambil terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab dalam membayar balik pinjaman pembiayaan.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Lenggong berkata PTPTN menyasarkan kutipan sekurang-kurangnya RM5 bilion bagi membantu kira-kira 200,000 pelajar baharu selain pelajar sedia ada di institusi pengajian tinggi.

Ditanya mengenai terdapat pihak yang mendakwa mereka telah disenarai hitam dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) kerana gagal membayar balik pinjaman PTPTN, beliau berkata CCRIS adalah sistem rujukan kredit Bank Negara dan menjadi amalan biasa kepada mana-mana institusi kewangan di negara ini.

"Kepada peminjam PTPTN yang mempunyai rekod bayaran yang baik, ia tidak akan ada masalah cuma ia menjadi masalah kepada mereka yang mempunyai rekod bayaran tertunggak," jelasnya. -Bernama

Tags / Kata Kunci: PTPTN

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan