Pastikan Penganjur Perlumbaan, Sukan Ekstrem Tingkat Aspek Keselamatan

Diterbitkan: Khamis, 29 September 2016 9:33 AM

Dua beranak maut akibat dirempuh sebuah go-kart yang terbabas semasa menonton perlumbaan itu Ahad lalu.

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang akan memastikan penganjur sukan permotoran atau sukan ekstrem lain meningkatkan aspek keselamatan bagi mengelakkan kemalangan pada masa hadapan.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata penganjur tidak seharusnya hanya memikirkan situasi yang baik, tetapi juga perlu mengambil kira situasi yang buruk yang boleh berlaku semasa acara berlangsung.

Mengulas kemalangan pada Perlumbaan Automotif dan Inovasi Pendidikan 2016 (EIMARace 2016) pada Ahad lalu, Adnan berkata pihaknya telah mendapatkan penjelasan daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selaku penganjur.

"Saya telah dengar taklimat daripada UTM dan nasihatkan mereka supaya jangan mencari salah mana-mana pihak pada peringkat ini. Biar polis jalankan siasatan.

Kementerian Pendidikan Tinggi juga melakukan siasatan.

"Kami berasa dukacita dengan perkara yang berlaku. Jika (acara perlumbaan) diteruskan pada masa akan datang, tingkatkan keselamatan. Fikirkan tentang perkara buruk yang mungkin berlaku," katanya kepada pemberita di Kompleks Yayasan Pahang di sini, Rabu.

Adnan menambah selepas EIMARace tahun lalu, pihaknya mengenal pasti tapak untuk membina litar tetap di Gambang di sini, dan langkah itu pasti dapat meningkatkan aspek keselamatan dalam sukan permotoran di masa hadapan.

"Kami telah kenal pasti kawasan untuk buat litar tetap, tetapi masih belum mendapat peruntukan. Secara peribadi saya tidak minat sukan ekstrem, namun kita tidak boleh perkecilkan hobi orang lain...yang penting tingkatkan aspek keselamatan," katanya.

Pada EIMARace 2016, penyelia Izwan Isa, 39, dan anaknya Nur Zulaikha, lima, maut manakala isterinya Siti Suhaiza Seman, 38, dan anak sulung mereka Muhammad Izz Daniel, tujuh, cedera akibat dirempuh sebuah go-kart yang terbabas semasa menonton perlumbaan itu.

Adnan menambah insiden EIMARace 2016 juga dibincangkan pada Mesyuarat Kerajaan Negeri semalam, dan kerajaan negeri mengambil ketetapan akan memastikan keluarga arwah mendapat pembelaan dan bantuan sewajarnya seperti bayaran pampasan insurans bagi meringankan beban mereka.

Beliau menjelaskan kerajaan negeri tidak menaja EIMARace 2016, sebaliknya hanya memudahkan permohonan UTM untuk menganjurkan perlumbaan itu.

Adnan menambah daripada maklumat diterimanya, EIMARace merupakan pertandingan di mana enjin terpakai diberikan kepada pelajar untuk dilakukan kajian dan merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran mereka. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: aspek keselamatan , sukan ekstrem

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan