PRU14 Tidak Perlu Diadakan Tergesa-Gesa - Annuar Musa

Diterbitkan: Khamis, 29 September 2016 5:29 PM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tidak perlu diadakan tergesa-gesa hanya kerana ada isu tertentu menyelubungi negara, kata Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, mandat yang diberikan kepada Barisan Nasional (BN) hendaklah digunakan sebaik mungkin untuk menyelesaikan masalah dihadapi rakyat dan negara berikutan kelembapan ekonomi dunia.

Katanya, kerajaan tidak harus terperangkap dengan provokasi pembangkang yang sentiasa memainkan pelbagai isu termasuk isu perkauman supaya segera mengadakan PRU14 sebelum tempoh akhir 2018.

"Kerajaan yang bertanggungjawab mengutamakan rakyat dan perpaduan kaum, berbeza dengan pembangkang yang lebih pentingkan kuasa politik. Saya harap kerajaan sekarang tidak terikut-ikut rentak mereka.

"Bila rakyat memberi mandat, sewajarnya proses demokrasi itu dibenarkan berjalan sehingga akhir tempoh, bukan diganggu-gugat," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Katanya, kerajaan BN juga wajar memberi peluang kepada parti politik baharu seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyelesaikan pendaftaran mereka dahulu supaya berpeluang bertanding dalam pilihan raya umum.

Annuar berkata Umno tidak bimbang untuk PRU14 diadakan pada bila-bila masa kerana sentiasa siap siaga.

"Pembangkang sebaliknya tidak akan berhenti mengganggu sehingga jentera kerajaan gagal berfungsi dan rakyat mempersoalkan keupayaan kerajaan mentadbir negara.

"Oleh kerana kerajaan BN lebih bersifat terbuka untuk dikritik dan ditegur, pembangkang seolah-olah tidak peduli masalah rakyat khususnya ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata kejatuhan harga minyak dunia memberi kesan ketara terhadap hasil negara namun kerajaan BN sentiasa berusaha mengambil tindakan untuk mengurangkan kesannya terhadap rakyat.

Dalam pada itu Annuar meminta golongan yang mendapat manfaat hasil daripada perjuangan UMNO supaya membantu parti 'mentarbiah' terutama golongan muda supaya mendaftar sebagai pengundi berikutan kira-kira 1.2 juta orang Melayu yang layak mendaftar masih belum berbuat demikian.

Mengenai pakatan parti pembangkang, beliau berkata DAP masih merupakan parti dominan dan tidak akan tunduk kepada kemahuan parti lain termasuk PPBM yang diterajui bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. -- Bernama

Tags / Kata Kunci: Annuar Musa , Umno , PRU14

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan