PAS Bidas Sekutu Politik

Diterbitkan: Khamis, 29 September 2016 2:12 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: PAS dijangka tidak menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti pembangkang termasuk sekutu lamanya, PKR, yang didakwa hanya mahu memperkudakan mereka.

Tanpa menamakan mana-mana individu atau parti, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim berkata, pihaknya lebih selesa bekerjasama dengan parti yang menerima baik ideologi dan agenda mereka.

"Bagi PAS, lebih mudah bekerjasama dengan sekutu yang jujur berbanding mereka yang mahu mengambil kesempatan ke atas kami," katanya menerusi satu kenyataan Rabu malam.

Tuan Ibrahim turut menyindir sebuah "pakatan politik" yang berbuat demikian semasa Pilihan Raya Negeri Sarawa sebelum ini dan pilihan raya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

"Terdapat parti sekutu ini yang mengerahkan semua calon mereka tetapi jentera parti langsung tidak kelihatan.

"Lebih buruk lagi, parti itu menyuruh kami sendiri memasang semua poster calon dan bendera parti mereka di kawasan PAS.

"Kami tidak kisah jika parti itu baru berusia setahun atau dua tahun tetapi parti berkenaan sudah lama dan hanya muncul ketika pilihan raya," ujar beliau.

Tuan Ibrahim turut berasa hairan dengan parti pembangkang itu yang mahu PAS bersetuju dengan pembahagian kerusi, tetapi turut menuduh pihaknya bekerjasama dengan UMNO.

"PAS dijadikan "punching-bag" (karung tinju), kami diserang dengan segala penipuan yang mendakwa kami akan bekerjasama dengan UMNO dan kami adalah "dedak" daripada UMNO.

"Ketika kami diasak sebegitu, mereka masih berharap untuk bekerjasama dengan kami. Sungguh menghairankan," katanya.

PAS kini tidak lagi berfungsi dalam Pakatan Rakyat ekoran perbalahan dengan DAP tetapi masih lagi bersekutu dengan PKR yang memerintah kerajaan Selangor bersama.

Selepas pembentukan Pakatan Harapan yang menggandingkan PKR, DAP dan serpihan parti PAS, Parti Amanah Negara (PAN), PAS menjalinkan kerjasama dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

Namun situasi semakin rumit apabila parti baharu yang dipimpin bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) ditubuhkan.

Tun Mahathir menyeru semua parti pembangkang termasuk PAS untuk bekerjasama bagi menewaskan Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.

PAS bagaimanapun enggan menyerahkan mana-mana kerusi mereka kepada Pribumi.

Tags / Kata Kunci: PAS , DAP , PKR , PAN , UMNO , Pribumi , Ikatan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan