Empat Rumah Kebajikan Abadikan Nama Jaguh Paralimpik

Diterbitkan: Rabu, 28 September 2016 9:05 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Empat rumah penjagaan orang kelainan upaya (OKU) dan kanak-kanak akan diberi nama bersempena pencapaian tiga jaguh paralimpik Malaysia, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Rumah kebajikan itu ialah Taman Sinar Harapan di Jitra Kedah, yang akan dikenali sebagai Taman Sinar Harapan Ridzuan Puzi, manakala Taman Sinar Harapan di Cheras, Selangor akan mengambil sempena nama pemenang pingat emas lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli.

Rumah Kanak-Kanak di Arau, Perlis pula akan dinamakan Rumah Kanak-Kanak Abdul Latif Romly, manakala Rumah Kanak-kanak Mini di Johor akan dikenali sebagai Rumah Kanak-kanak Mini Siti Noor Radiah Ismail.

Dalam kenyataan bersempena Kongres Sedunia Komuniti Berasaskan Pemulihan (CBR), yang bermula di sini pada Selasa, beliau berkata rumah kebajikan itu dinamakan semula sebagai penghargaan terhadap para atlet paralimpik negara yang berjaya mengatasi cabaran untuk mengharumkan nama Malaysia pada Sukan Paralimpik Rio baru-baru ini.

Ridzuan, yang nama penuhnya Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, menang pingat emas dalam acara pecut 100m, manakala Siti Noor Radiah meraih pingat gangsa dalam acara lompat jauh.

Malaysia menjadi tuan rumah kongres itu yang bertujuan menggalakkan tindakan masyarakat ke arah memperjuangkan hak asasi manuisa dan pembangunan lestari dalam kalangan OKU.

Bertemakan 'CBR: Empowering and Enabling" (CBR:Memperkasa dan Mengupayakan), ia bertujuan mempamerkan bagaimana Matlamat Pembangunan Lestari boleh menjamin golongan OKU menjadi aset kepada negara masing-masing.

CBR, strategi yang diperkenalkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dihoskan bersama dan disokong Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, CBR Network Malaysia, Majlis Pemulihan Malaysia dan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB).

Dalam kenyataannya, kementerian itu berkata kongres tersebut menghimpunkan 1,000 anggota perwakilan, 480 daripadanya dari 86 negara luar, termasuk Afghanistan, Sepanyol, India dan Australia.

Katanya, Malaysia mengetengahkan hak orang kelainan upaya di peringkat global melalui pelbagai sesi dan dialog interaktif dalam kalangan pengamal CBR terbaik, Pertubuhan Orang Kelainan Upaya (DPO), masyarakat sivil, ahli akademik dan kerajaan mengenai isu kritikal dalam CBR.

"Kami dapati bahawa CBR perlu dilaksanakan dari sudut pandangan pragmatik dan Konvensyen mengenai Hak Orang Kelainan Upaya (CRPD) pula adalah perkara yang para pembuat keputusan perlu adakan dari sudut pandangan perundangan dan normatif.

"Bekerjasama, meletakkan nilai mengenai hubungan dan memberi fokus terhadap hasil lestari serta positif merupakan perkara yang perlu dilakukan," kata Rohani seperti yang dipetik kenyataan itu.

Sementara itu, presiden CBR Global Network Venkatesh Balakrishnan berkata kongres berkenaan diadakan tepat pada waktunya kerana 2016 merupakan ulang tahun ke-10 Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Kelainan Upaya (CRPD) dan ia diadakan setahun selepas Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pasca 2015 dilaksanakan.

"Oleh itu, kongres ini merupakan peluang terbaik untuk menilai peranan CBR hari ini dan bagaimana ia telah berkembang maju sejak beberapa tahun lepas hingga menjadi satu strategi pembangunan inklusif," katanya.

Setakat ini, kerajaan membuktikan usahanya untuk memberi komitmen padu terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia yang tergolong sebagai OKU serta terus menyediakan sokongan yang diperlukan bagi memastikan program CBR memberi perkhidmatan bermakna dan bermanfaat, bukan sahaja kepada golongan OKU, tetapi juga masyarakat secara keseluruhan.

CBR melakar kejayaan besar di Malaysia dengan pelbagai program dianjurkan berdasarkan matriks CBR seperti kesihatan, pendidikan, kehidupan, sosial dan pemerkasaan, dengan sebanyak 527 pusat CBR di wujudkan di negara ini.

Kongres CBR Sedunia akan mengetengahkan kekurangan besar yang dialami OKU dari segi sosial dan ekonomi serta mengesyorkan cara dan kaedah berkesan untuk membina keupayaan dalam CBR, kata kenyataan itu. 

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan